Antara penyingkiran paling memalukan dalam sejarah Sukan SEA

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Seperti yang semua sedia maklum, skuad bolasepak bawah 23 tahun Malaysia terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada temasya Sukan SEA 2019 susulan kekalahan memalukan 1-3 di tangan Kemboja pada Rabu.

Ini adalah kali kedua dalam tiga edisi terakhir Malaysia kandas di peringkat kumpulan, kali ketiga sejak pertandingan dihadkan kepada usia bawah 23 tahun dan kali kelapan dalam tempoh 30 tahun.

Begitupun, tersingkir kali ini, tidak keterlaluan jika disifatkan sebagai antara penyingkiran paling memalukan dalam sejarah Malaysia mengambil bahagian di temasya Sukan SEA. Perit dan pedas, tetapi itulah hakikat.

Ketika Malaysia gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir dalam lima edisi Sukan SEA berturut-turut dari tahun 1991 hingga 1999, kemudiannya 2007 dan 2015, skuad negara ditunjukkan jalan keluar kerana gagal untuk menang ke atas pasukan yang dilabel pilihan seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura, pasukan kerdil tidak pernah menjadi masalah kecuali pada edisi 1997.

Edisi 1997 di Indonesia menyaksikan Malaysia dimalukan dengan kekalahan 0-1 kepada Laos dalam aksi terakhir dan nampaknya ia berulang selepas 22 tahun, kita gagal melangkah kerana diaibkan pasukan yang lazimnya dianggap sebagai belasahan. Mungkin penyokong tidak begitu ‘ralat’ jika Malaysia gagal mara setelah memberi tentangan sengit kepada Thailand atau Vietnam, tewas tanpa melawan kepada Kemboja seolah satu malapetaka!

Untuk kita mengakui bolasepak Kemboja telah banyak meningkat adalah satu perkara, tetapi perkara lebih besar adalah kenapa pula level bolasepak kita menjadi terlalu rendah dan tidak bermain pada potensi sebenar kita? Setinggi mana pun meningkat level bolasepak Kemboja, bukankah sepatutnya setinggi itu juga level kita lebih baik?

Lebih malang, kerana sejak sebelum temasya bermula lagi, Malaysia disifatkan ramai sebagai beruntung kerana mendapat undian mudah, namun apa yang dipersembahkan barisan pemain di Filipina sejak dari aksi pertama menentang Myanmar sangatlah mengecewakan dan boleh disimpulkan sebagai langsung tidak memuaskan, tidak menunjukkan mereka sebagai sebuah skuad yang kompeten.

Bergelut untuk mencatat seri dengan Myanmar, tewas kepada Filipina, menewaskan Timor Leste menerusi tiga ‘gol hadiah’ daripada lawan sebelum tewas kepada aksi bertenaga Kemboja. Kemboja tahu mereka perlu menang dan mereka menunjukkan keghairahan, ‘urgency’ untuk melakukannya – sesuatu yang hilang di kem Malaysia.

Reaksi yang diharapkan selepas berjaya menyamakan kedudukan ketika menentang Myanmar, selepas ketinggalan 0-1 kepada Filipina, selepas mendahului Timor Leste 3-0 dan selepas ketinggalan 0-1 kepada Kemboja, adalah lebih keghairahan. Tiada keghairahan atau kesungguhan, apa yang ditunjukkan sepanjang kempen seolah bermain tanpa sasaran, bermain tanpa visi.

Jika ada tanggapan ‘ala Sukan SEA jer, sekadar medium pendedahan apa nak hairan’, perbetulkan tanggapan itu. Kalau ‘Sukan SEA jer’ ini pun tidak mampu kita tawan, layakkah kita berbicara mengenai masa depan yang lebih gemilang?

Malaysia perlu bangkit daripada kegagalan ini, bukan masa untuk mencari alasan, tetapi untuk bertindak. Jadikan kegagalan ini pengajaran dan panduan, semoga bolasepak Malaysia kembali lebih kuat pada 2020.

Foto : Sportflex Malaysia

Comments