Skuad OKS pernah dimalukan skuad Sukan SEA Kemboja di AFF B-22, jangan biar sejarah berulang

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Tiket ke separuh akhir Sukan SEA 2019 menjadi taruhan apabila Malaysia turun menentang Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Memorial Rizal, pada Rabu.

Berdasarkan reputasi, Malaysia dilihat sebagai pilihan untuk mencatat kemenangan dan mara mengiringi Myanmar ke kelompok empat terbaik.

Namun, anak buah Dato’ Ong Kim Swee tidak boleh terlalu yakin, tidak boleh sesekali memandang rendah keupayaan Kemboja walaupun mereka lazimnya menjadi pasukan belasahan dalam setiap edisi. Kekuatan pasukan bimbingan Felix Dalmas itu kali ini jauh berbeza, dan Malaysia tidak boleh sesekali lupa pasukan yang sama inilah mengejutkan mereka 1-0 di Kejohanan AFF B-22 pada Februari lalu.

Apatah lagi, Kemboja mengekalkan 14 pemain daripada skuad yang memalukan Malaysia di Phnom Penh termasuklah penjaring gol tunggal ketika itu Sath Rosib, selain beberapa pemain tonggak lain seperti Orn Chanpolin, Sin Kakada, In Sodavid dan Sin Sophanat yang merupakan tunjang kekuatan mereka dan telah beraksi bersama sejak beberapa tahun.

Malaysia bukan sahaja wajib menang, tetapi lebih penting perlu memastikan kemenangan dengan defisit besar. Berdasarkan kualiti permainan yang telah ditunjukkan dalam tiga perlawanan awal, penyokong boleh dimaafkan andai mereka mempunyai keraguan dengan kemampuan pasukan negara melakar kemenangan selesa, tetapi itu sahaja pilihan yang ada.

Malaysia tidak boleh sesekali bermain dengan tanggapan tiga mata sahaja sudah mencukupi sambil mengharapkan bantuan Timor Leste untuk memberi tentangan sengit dan menyukarkan Filipina, ia akan menjadi kesilapan besar dan berpotensi membuatkan kita berputih mata.

Perlawanan menentang Kemboja bukan sahaja misi hidup mati untuk meneruskan perjuangan di Sukan SEA dan menghidupkan peluang merampas pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada 2011, tetapi lebih dari itu demi maruah dan reputasi, jangan ia tergadai di tangan Kemboja.

Ayuh Adam Nor Azlin dan rakan-rakan, buktikan kredibiliti sebenar dan tepis segala kesangsian, sokongan rakyat Malaysia mengiringi perjuangan anda!

Foto : Asean Football

 

 

 

 

Comments