Kim Swee jangka Filipina bakal ‘mengamuk’ susulan kekalahan kepada Myanmar

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Malaysia boleh menjangkakan perlawanan yang sukar apabila menentang tuan rumah Filipina dalam aksi kedua Kumpulan A saingan Sukan SEA 2019 pada Jumaat.

Pasukan ‘junior azkals’ itu yang dianggap salah satu pasukan pilihan untuk ke separuh akhir berikutan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, mengalami kekalahan 1-2 di tangan Myanmar dua hari selepas membuka tirai saingan dengan keputusan seri 1-1 menentang Kemboja.

Pengendali skuad B-22 negara, Dato’ Ong Kim Swee berkata keputusan dua perlawanan pertama menjadikan tekanan di kem Filipina cukup tinggi menjelang aksi menentang Malaysia yang turut memburu kemenangan sulung, justeru mengingatkan pemain supaya tidak melakukan kesilapan.

“Kita tidak boleh fikir dengan prestasi mereka ketika seri dengan Kemboja dan kalah kepada Myanmar, maka ia bakal memberikan kita laluan mudah. Sebagai tuan rumah, mereka pastinya tidak mahu diaibkan lagi dan tersingkir awal di tempat sendiri, mereka pun tahu mereka tidak boleh lagi mencicirkan mata jadi saya harap kita tidak hilang fokus dan memberikan persembahan terbaik kita.

“Filipina juga diwakili dua pemain lebih umur yang memberikan perbezaan cukup ketara, mereka bermain dengan cukup baik terutama (Stephan) Schrock yang merupakan nadi utama mereka.

“Saya telah membawa pemain menyaksikan perlawanan Filipina-Myanmar, untuk mereka lebih mengenali permainan pasukan Filipina, kita juga akan ada sesi video jadi saya berharap pemain-pemain tahu dan faham apa yang perlu dilakukan,” kata Kim Swee yang membimbing Malaysia di Sukan SEA buat edisi kelima berturut-turut.

Malaysia kali terakhir memenangi pingat emas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Palembang dengan menewaskan tuan rumah Indonesia. Selepas itu pada 2013 cabaran tersekat di separuh akhir, manakala pada 2015 gagal melepasi halangan peringkat kumpulan sebelum memenangi pingat perak pada edisi 2017 di laman sendiri.

Comments