Hamidin terus laungkan keyakinan kepada skuad B22

Khairul Nizam Khairul Nizam

Untuk mencatat kemenangan, banyak yang perlu dilakukan, dan kadang kala ada masanya kerjasama diperlukan daripada semua pihak dan bukan pemain sahaja.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah melaungkan keyakinannya kepada skuad bawah 22 tahun negara tetapi pada masa yang sama mahu mereka kekal fokus pada misi mereka jika mahu merangkul pingat emas Sukan SEA 2019 di Manila.

“Dengan barisan pemain yang saya lihat sebagai gabungan mantap diumumkan, saya yakin pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee mampu melakar kejayaan,” kata Hamidin ketika majlis makan malam bersama skuad B-22 kebangsaan, semalam.

“Mereka yang dipilih itu memang berkualiti tinggi tetapi pemain perlu konsisten, fokus dan berdisiplin hingga ke perlawanan akhir untuk berjaya.

“Namun, dengan pengalaman yang ada pada Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal selaku pengurus pasukan kebangsaan dan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, saya yakin dengan pemain yang dipilih untuk membawa cabaran Malaysia dalam Sukan SEA tahun ini,” kata Hamidin seperti dinyatakan di laman Facebook rasmi FAM.

Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas adalah pada tahun 2011 yang lalu. Dalam edisi di Kuala Lumpur pada tahun 2017, Datuk Ong Kim Swee berjaya membawa skuad muda negara ke perlawanan akhir, tetapi tewas kepada Thailand.

Malaysia akan memulakan cabaran merangkul ibu segala pingat dengan berdepan Myanmar pada hari Isnin nanti.

 

Kredit foto: FAM

Comments