Aksi Thailand penentu nasib lima pemain B-19 dalam skuad Sukan SEA 2019

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Seperti diketahui, Dato’ Ong Kim Swee telah menyenaraikan lima pemain dari skuad bawah 19 tahun negara untuk menjalani latihan bersama pasukan bawah 23 tahun kendaliannya sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina bermula 26 November depan.

Lima pemain tersebut adalah penyerang sensasi yang semakin mencipta nama Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haikal Adam Afkar, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Azam Azmi Murad.

Mereka ketika ini sedang mewakili skuad B-19 di pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-19 di Kemboja dan hanya akan melapor diri di kem seminggu lebih lewat berbanding 23 pemain lain.

Dengan hanya 20 pemain yang akan berada dalam senarai akhir ke Sukan SEA 2019, pastinya bukan mudah untuk masing-masing memenangi kepercayaan Kim Swee, meskipun setakat ini mereka menunjukkan aksi cukup baik dengan membantu Malaysia mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, terbaru membelasah Northern Marina Islands 10-0.

“Saya gembira dengan perkembangan mereka di sana (Kemboja), sangat memuaskan tetapi saya tidak boleh buat kesimpulan segera berdasarkan keputusan ke atas Brunei dan Kepulauan Marina.

“Perlawanan lebih penting selepas ini menentang Thailand yang akan menentukan kita muncul juara atau berakhir di tempat kedua, jadi sudah pasti ia akan memberi motivasi berlainan, corak permainan berlainan (dapat disaksikan) selepas itu saya akan buat penilaian tentang kedudukan mereka sama ada mereka terus kekal atau hanya menjalani latihan sahaja bersama kita,” kata Kim Swee ketika ditemui Foxsports di Wisma FAM.

Luqman Hakim paling menonjol di Kemboja setakat ini setelah menyumbang lima gol, termasuk satu gol jarak jauh ketika menewaskan tuan rumah 5-4 dalam aksi pembukaan dan empat gol ketika menewaskan Brunei 11-0.

Sebagai makluman, acara bolasepak di Sukan SEA 2019 akan berlangsung dari 26 November hingga 10 Disember dengan Malaysia telah diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

Untuk edisi kali ini, dua pemain lebih umur boleh disenaraikan dan salah satu tempat itu telah diisi oleh pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria.

Foto : FAM

Comments