Tiada masalah buat Ong Kim Swee

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengendali skuad bolasepak bawah 23 tahun negara, Dato’ Ong Kim Swee tidak menganggap tempoh singkat latihan pusat selama tiga minggu sebelum pasukannya bermain di Sukan SEA Filipina 2019 sebagai satu isu besar.

Temasya dwitahunan itu akan bermula pada 30 November, dengan acara bolasepak pula akan bermula lebih awal pada 26 November, manakala para pemain dijadual melapor diri untuk latihan pusat pada 4 November, itu tidak termasuk enam pemain yang terlibat dengan pasukan senior Harimau Malaya.

Enam pemain berkenaan iaitu Syahmi Safari, Safawi Rasid, Daniel Amier Norhisham, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba dan Akhyar Rashid akan membantu perjuangan skuad negara di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di mana Malaysia akan berdepan Thailand pada 14 November, disusuli Indonesia pada 19 November sebelum melapor diri di kem skuad B-23 sehari kemudian.

Namun Kim Swee yang sudahpun membimbing pasukan ini sejak dari temasya Sukan SEA 2011 di Palembang kekal tenang dan dia melihat tiada sebab untuk melatah.

“Saya kena lihat daripada sudut positif situasi ini dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik, perlu diingat bukan sahaja kita tetapi pasukan pencabar lain juga berdepan situasi sama, ada pemain muda terlibat dengan skuad senior, jadi saya tidak berminat untuk mengeluh.

“Saya akan ada tiga minggu untuk mempersiapkan dan membentuk sebuah pasukan kompeten untuk misi merampas emas, hanya enam pemain itu tidak akan bersama kita tetapi apa yang bagusnya adalah mereka sudahpun berada dalam keadaan yang kompetitif,” kata Kim Swee kepada The Star.

Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir memenangi pingat emas di Sukan SEA adalah pada 2011 dengan menewaskan tuan rumah Indonesia manakala pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, berpuas hati dengan pingat perak setelah kecundang kepada Thailand.

 

Foto : FAM

 

 

Comments