Kim Swee mahu nilai persembahan Luqman di pentas Kelayakan AFC B-19 sebelum dipanggil menyertai skuad Malaysia B-23

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee mahu menilai terlebih dahulu persembahan penyerang muda kebangsaan, Luqman Hakim pada pusingan Kelayakan Kejohanan AFC B-19, awal november hadapan.

Beliau mengakui penyerang yang terhasil daripada produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu merupakan seorang penyerang yang berbakat namun konsistensi dan memiliki minit permainan yang baik turut menjadi faktor penilaian.

Foto: FAM

Selain daripada Luqman Hakim, bekas ketua jurulatih senior kebangsaan itu akan memantau secara dekat beberapa nama pemain skuad B-18 lain yang beraksi cemerlang dalam saingan Piala AFF B-18. 

Mereka akan menjalani proses tapisan dan saringan oleh barisan kejurulatihan skuad B-23 sebelum dipanggil bagi mengharungi kempen temasya Sukan SEA Filipina 2019.

“Kita masih ada masa dalam dua bulan lagi untuk menilai pemain. Saya mahu lihat pemain yang konsisten dan mempunyai waktu bermain.

“Luqman, anda semua tahu dia mempunyai sentuhan penyudah yang cukup baik dan bermain dengan bagus pada Kejuaraan AFF di Vietnam. Bukan dia seorang, tetapi ada beberapa lagi pemain yang saya dapat lihat berpotensi besar.

“Mereka masih ada satu lagi kejohanan AFC B-19 (Kejuaraan Bawah 19 tahun Konfederasi Bola Sepak Asia) pada November nanti, dan saya mahu lihat perkembangan prestasi pemain dalam skuad itu,” katanya seperti dipetik daripada Utusan Online.

Untuk rekod, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah menyenaraikan skuad bola sepak lelaki Malaysia B-23 dalam kategori A dan diletakkan harapan tinggi menjuarai acara bola sepak lelaki seterusnya meraih ‘ibu segala pingat’ dalam temasya Sukan SEA Filipina 2019.

Justeru, Datuk Ong Kim Swee dilihat ingin mempersiapkan skuad yang mantap daripada segenap posisi seterusnya dapat mengulangi kejayaan meraih pingat emas di temasya sukan dwitahunan peringkat asia tenggara pada lapan tahun lalu.

Foto: Football Association of Malaysia

Comments