BAM umum barisan pemain negara untuk Sukan SEA Filipina

Khairul Nizam Khairul Nizam

Menjelang Sukan SEA di Manila, Filipina yang akan bermula pada 30 November ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan barisan pemain yang akan membawa nama negara dalam temasya dwi tahunan itu.

Skuad negara dibarisi ramai pemain muda dengan pemain nombor 1 negara, Lee Zii Jia mengetuai cabaran skuad kebangsaan.

Turut berada dalam pasukan kebangsaan adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Goh Jin Wei yang pastinya mahu mempertahan pingat berkenaan yang dimenanginya di Kuala Lumpur. Turut berada dalam pasukan negara adalah dua pemain muda negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh BAM menyatakan bahawa sasaran pasukan ini adalah untuk meraih dua emas dalam temasya berkenaan.

“Kami mahu pemain berpengalaman untuk memberi tunjuk ajar kepada pemain muda dan meningkat naik bagi mengharumkan nama Malaysia di Sukan SEA.

“Kejohanan ini akan menjadi pentas untuk pemain menunjukkan kebolehan sebenar mereka dan mengharumkan nama negara. Kami mahu memberi pendedahan kepada pemain muda supaya mereka bersedia menggalas cabaran negara seawal mungkin dan berada di barisan hadapan.

“Mereka (Chong King dan Aidil) telah mendapat tempat selepas menunjukkan keupayaan mereka dalam beberapa kejohanan yang mereka sertai sebelum ini. Kami mahu mempercepat perkembangan mereka dengan meraih pengalaman beraksi di peringkat lebih tinggi.

“Sasaran dua pingat emas untuk pasukan ini bukan satu tugas mudah. Tetapi, kami mahu meletakkan objektif yang munasabah untuk pemain dan barisan kejurulatihan,” kata Choong Hann.

Acara Badminton akan berlangsung di Makati Coliseum bermula 1 sehingga 9 Disember nanti.

 

Kredit foto: BAM

Comments