Latif Romly bakal terbang dengan bantuan Asta daripada Black Clover

Nampaknya juara acara lompat jauh Para Dunia dari Malaysia, Abdul Latif Romly akan mendapat suntikan semangat yang lebih untuk bertanding pada tahun ini. Tetapi suntikan itu bukanlah berbentuk insentif, tetapi semangat yang diambil dari watak anime Black Clover, Asta.

Bukanlah Latif akan menjadi persis watak dalam anime tersebut, tetapi dia akan menyarung kasut yang direka khas oleh seorang pereka daripada Kedah untuk kejohanan yang bakal disertainya nanti.

Pereka kasut berkenaan, Hasbullah Bin Mat meluahkan rasa bangganya dapat membantu menzahirkan permintaan Latif.

“Dia menghubungi saya pada hujung tahun 2018 selepas dia terlihat tweet saya mengenai kasut rekaan khas. Dia bertanya sama ada saya boleh meletakkan watak anime pada kasut lompat jauhnya. Pada mulanya saya tidak menyedari bahawa yang menghubungi saya itu adalah latif, tetapi selepas saya melihat gambar kasut yang disertakannya, baru saya sedar itu latif.

“Saya merasa teruja apabila mengetahui bahawa seorang atlet Malaysia yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik dan juara dunia menghubungi saya untuk meminta saya membuat rekaan pada kasutnya. Pada masa yang sama, saya tidak sabar untuk melihat dia menyarung kasut itu ketika pertandingan nanti.”

Pemuda dari Kedah itu telah lima tahun berkecimpung dalam bidang reka bentuk tetapi baru mula terlibat dalam mereka kasut pada awal tahun 2018. Katanya lagi, Latif merupakan satu-satunya atlet yang menghubunginya dan dia berharap dapat mereka bentuk kasut-kasut untuk atlet lain juga.

“Sudah tentu saya merasa bangga dapat mereka kasut untuk seorang atlet seperti Latif. Secara jujur, saya melihat latif sama seperti atlet ‘able body’ yang lain, dan tidak keterlaluan untuk saya katakan mungkin lebih membanggakan dengan semua pencapaiannya. Apa yang dicapainya sekarang adalah hasil kerja kerasnya selama ini dan saya harap dia akan dapat mengecapi lebih banyak kejayaan di masa akan datang. Latif juga nampak seorang yang mesra ketika kami membincangkan mengenai rekaan kasut yang dimahukannya.”

Hasbullah yang menggunakan nama Twitter @Aslah92 pastinya akan menjadi sebutan ramai selepas ini. Siapa tahu jika selepas ini pemain bolasepak atau atlet bertaraf dunia dari Malaysia atau luar negara juga bakal meminta bantuannya untuk meletakkan imej watak anime kegemaran di kasut mereka.

 

Comments