Umi Syuhadah tekad tambah satu lagi pingat untuk Malaysia

Atlet Para Malaysia, Umi Syuhadah Idris telah berjaya membantu Malaysia merangkul satu lagi pingat di Kejohanan Grand Prix FAZZA Olahraga Para Dunia 2019 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu semalam.

Kejayaan merangkul pingat dalam acara lontar peluru itu sememangnya tidak dijangka oleh beliau yang bakal beraksi dalam acara lempar cakera pula pada hari ini.

“Saya memang tidak menjangka sebenarnya akan dapat merangkul pingat dalam acara ini kerana saya berdepan saingan yang sukar selain daripada beraksi dalam kategori yang bercampur (F35/36/37). Pingat ini satu rezeki buat saya.”

“Untuk acara lempar cakera memang saya sasarkan untuk memenangi pingat. Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk memastikan saya akan dapat membawa pulang satu lagi pingat untuk Malaysia,” kata Umi selepas dihubungi.

Umi Syuhada akan beraksi dalam acara lempar cakera wanita F37 pada pukul 11 malam ini (waktu Malaysia) sementara seorang lagi atlet negara, Mohd Saifuddin Ishak akan beraksi dalam acara lompat jauh T12 pada pukul 10 malam.

Setakat ini, Malaysia sudah merangkul tiga pingat dengan Afiq Ali Hanafiah berjaya merangkul pingat emas dalam acara 100 meter T12 dan Ahmad Solihim Mohd Nor memenangi pingat perak dalam acara 100 meter T46.

Comments