Ashraf Haisham tidak sabar beraksi menentang pemenang pingat emas Paralimpik Rio

Khairul Nizam Khairul Nizam

Atlet Para Malaysia, Muhamad Ashraf Muhammad Haisham berazam untuk mencuba yang terbaik di Kejohanan Antarabangsa FAZZA Grand Prix Olahraga ke-11 Dubai yang akan berlangsung pada malam ini.

Ashraf akan beraksi dalam acara 1500 Meter kategori T46 yang akan berlangsung pada 10.30 malam ini di Kompleks Sukan di Stadium Kelab Untuk Insan Kelainan Upaya, Dubai. Menurut atlet kelahiran Manjung, Perak ini, dia tidak sabar untuk berdepan atlet dari Algeria, Samir Nouioua.

“Memandangkan saya akan bersaing dengan pemegang pingat emas Paralimpik Rio, jadi sasaran utama saya untuk menguji diri menentang atlet bertaraf dunia dan cuba memperbaiki rekod peribadi. Untuk pingat pula, saya akan mencuba yang terbaik pada malam ini untuk berusaha dapatkan pingat,” kata Ashraf ketika dihubungi.

Ashraf Haisham merupakan pemenang pingat emas Sukan Para Asean 2017 dan pingat perak Sukan Para Asia 2018. Mengikut kedudukan rasmi dalam Olahraga Para Dunia bagi tahun 2018, Ashraf berada di kedudukan ke-6 dunia dan kedua Asia berdasarkan pencapaian terbaiknya di Sukan Para Asia Jakarta dengan catatan masa 4:17:02.

Comments