IPC sah tarik hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 daripada Malaysia

Sah ditarik.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) telah sah menarik hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya berlangsung di Kuching, Sarawak pada 29 Julai sehingga 4 Ogos 2019.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Badan Pentadbir IPC selepas mesyuarat mereka di London ekoran tindakan Malaysia yang tidak membenarkan penyertaan atlit renang Para Israel menyertai kejohanan tersebut.

“Semua kejohanan antarabangsa perlu dibuka kepada semua atlet dan negara untuk bertanding secara selamat dan bebas dari sebarang diskriminasi. Apabila ada negara tuan rumah menghalang penyertaan atlit dari negara tertentu kerana isu politik, jadi kami terpaksa mencari tuan rumah kejohanan yang baru.

“Sebagai keputusan daripada badan pentadbir, kami kini akan mencari tuan rumah baru bagi acara ini, yang juga akan menjadi kelayakan untuk ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Kami akan cuba memastikan tarikh dan keadaan yang sama untuk Kejohanan ini untuk tidak mengganggu persiapan dan jadual atlit yang mahu mencapai kemuncak di penghujung Julai atau awal Ogos. Namun, kami mungkin perlu lebih fleksibel mengambil kira apa yang sedang kami hadapi,” kata Presiden IPC, Andrew Parsons dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, dijangka 600 atlit dari 60 negara sebelum akan beraksi di Kuching dengan 160 gelaran dunia untuk dimenangi.

 

Comments