Tiga atlit Para terima sumbangan untuk bantu Misi Tokyo 2020

Khairul Nizam Khairul Nizam

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu.

Tapi bagi tiga orang atlit Para negara, tuah mereka datang dalam bentuk bantuan bagi menjayakan misi mereka untuk mewakili negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Tiga atlit olahraga para negara, Ahmad Solihim, Ashraf Haisham dan Afiq Ali Hanafiah bakal menerima bantuan menerusi program ‘atlit angkat’ yang dijayakan oleh syarikat Fox Marketing Sendirian Berhad.

“Kami telah mengambil keputusan untuk mengambil tiga atlit ini sebagai satu langkah permulaan dengan harapan selepas ini akan lebih banyak pihak terutamanya badan korporat akan melakukan perkara yang sama. Selepas begitu banyak kejayaan yang dihadiahkan oleh atlit para kepada negara, sudah tiba masanya untuk kita pula membantu mereka.

“Keputusan ini juga dibuat bagi membantu mereka meneruskan misi mendapatkan pingat emas untuk negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti. Semoga lebih ramai atlit juga akan mendapat tajaan dan sokongan seperti ini nanti,” kata Pengarah Urusan Fox Marketing, Dato’ Sri Megat D. Shariman.

Tiga orang atlit ini akan menerima sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM5,000 setiap seorang dan akan dibantu jika mereka mahu berlatih atau menyertai mana-mana kejohanan sebagai persiapan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ketiga-tiga atlit ini akan berdepan cabaran mereka pada tahun ini dengan cuba melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga IPC di Dubai pada bulan November nanti dan mempertahan pingat emas yang dimenangi mereka di Sukan Para Asean Filipina pada Januari 2020.

Comments