Gunakan bahan kitar semula, Tokyo 2020 terus berada dalam kelas tersendiri

Khairul Nizam Khairul Nizam

Tokyo nampaknya berada di kelas tersendiri dalam penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 ini.

Selepas mengumumkan bahawa obor dan pingat bagi kedua-dua temasya terbesar dunia akan menggunakan bahan kitar semula, kini nampaknya tempat penginapan atlit juga akan mempunyai perabot daripada bahan kitar semula.

Dalam satu laporan BBC, perkampungan atlit bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 akan menggunakan katil yang dibina daripada kadbod yang boleh dikitar semula. Selain itu, cadar bagi katil berkenaan juga akan menggunakan bahan polietilena yang akan digunakan semula dalam menghasilkan bahan plastik selepas temasya.

Kredit foto: Reuters

Katil-katil itu berukuran 2.10 meter panjang dan dikatakan katil tersebut mampu menampung beban seberat 200kg, di mana ia lebih berat daripada mana-mana atlit yang bertanding di Sukan Olimpik 2016, Rio

Sebanyak 18,000 buah katil akan digunakan untuk sukan Olimpik dan 8,000 buah untuk Sukan Paralimpik nanti. Pada tahun 2016, seramai 11,238 orang atlit yang bertanding di Sukan Olimpik dan 4,342 orang atlit untuk Sukan Paralimpik.

Sebelum ini, badan penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah mengumumkan bahawa temasya berkenaan akan lebih mesra alam dengan obor bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik akan dihasilkan daripada lebihan aluminium dan podium pula akan dihasilkan menggunakan barangan rumah yang dikitar semula serta sisa plastik dari lautan, sementara kuasa eletrik akan dijana daripada sumber yang boleh diperbaharui.

Pingat bagi kedua-dua temasya pula dihasilkan daripada bahan elektronik kecil seperti telefon bimbit yang dikumpul daripada seluruh Jepun. Ia merupakan kali pertama dalam sejarah penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik yang melibatkan penduduk dan penghasilan pingat menggunakan besi kitar semula menerusi ‘Tokyo 2020 Medal Project”.

 

Kredit foto: BBC.com

 

 

 

 

 

 

 

 

Comments