#KamiLuarBiasa: Pahit dan manis Sukan Para 2019

Khairul Nizam Khairul Nizam

2019 bakal berlalu dan 2020 bakal menjelma.

Tahun 2019 bagi atlit dan sukan Para di Malaysia ada manisnya dan ada pahitnya.

Pahitnya bagi sukan Para Malaysia pada tahun 2019 adalah apabila tiga jaguh Para Malaysia, Ridzuan Puzi, Ziyad Zolkefli dan Latif Romly gagal mempertahan takhta kejuaraan dunia masing-masing. Pada Kejohanan Olahraga Para Dunia yang berlangsung di Dubai, Latif Romly mengutip pingat perak acara lompat jauh T20 dengan pingat emas dirangkul oleh Ranki Oberoi dari Belanda. Bagi raja pecut T36 negara, Ridzuan Puzi pula, dia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan pingat emas dimenangi oleh James Turner dari Australia yang juga memecahkan rekod dunia milik Ridzuan dengan catatan masa 11.73 saat. Badang negara, Ziyad Zolkefli juga terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas kepada atlet Ukraine, Maksym Koval dalam acara lontar peluru F20.

Namun begitu, sudah tentulah ada manisnya buat sukan Para Malaysia pada tahun 2019 juga. Pertama sekali, atlit angkat berat Malaysia, Bonnie Bunyau Gustin berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya bergelar bukan sahaja juara remaja dunia tetapi juga juara dunia di Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Kazakhstan pada bulan Jun. Bonnie berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016, Paul Kehinde dari Nigeria dan atlit di kedudukan nombor 1 dunia, Bettir Hocine dari Nigeria. Tidak cukup dengan itu, Bonnie turut mencatat rekod dunia baru bagi kategori remaja  dengan angkatan seberat 2017 kg. Dengan kemenangan ini, Bonnie turut mengesahkan kelayakannya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Seorang lagi wakil negara yang telah mencipta nama pada 2019 adalah Suresh Selvathamby yang berjaya merangkul pingat emas dan bergelar juara dunia dalam acara recurve di Kejohanan Memanah Para Dunia pada bulan Jun. Atlit berusia 25 tahun itu berjaya menewaskan juara dunia 2015, Eric Bennett dari Amerika Syarikat dengan keputusan 7-3. Kemenangan ini menjadikan Suresh atlit para pertama Malaysia bergelar juara dunia dalam acara memanah dan turut melayakkannya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Biarpun menamatkan 2019 dengan kekecewaan, tetapi kita tetap perlu berbangga dengan wira paralimpik negara, Ridzuan Puzi. Hasil kerja kerasnya dan kejayaan Ridzuan ini membolehkan dia menjadi atlit para pertama dari Malaysia yang menerima anugerah Atlit Lelaki Para Terbaik Asia. Ridzuan menerima anugerah tersebut daripada Presiden Majlis Paralimpik Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, Majid Rashed dalam satu majlis di Dubai pada bulan Februari lalu. Pastinya kejayaan Ridzuan ini telah banyak membantu membakar semangat rakan-rakannya untuk terus meningkatkan prestasi dan merebut gelaran sebagai juara dunia.

2020 bakal menjelma esok dan sudah tentu kejohanan paling penting dan menjadi tumpuan ramai atlit para adalah Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti. Bagi Latif, Ziyad dan Ridzuan, kekecewaan 2019 perlu dilupakan dan memastikan pingat emas Sukan Paralimpik kekal dalam genggaman. Bagi Bonnie, Suresh dan semua atlit para, 2020 akan menjadi tahun yang cukup menarik dan semoga lebih ramai juara dunia akan terhasil nanti.

 

Kredit foto: Paralympic.org

 

 

Comments