#KamiLuarBiasa: Ashraf mahu perbaiki catatan peribadi di Dubai

Khairul Nizam Khairul Nizam

Dengan tiket untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 masih boleh direbut, ramai atlit Malaysia masih menanam impian untuk cuba merebut peluang bagi bertanding di temasya sukan para terbesar di dunia itu.

Antara peluang bagi atlit olahraga Para Malaysia adalah di Kejohanan Olahraga Para Dunia yang akan bermula pada 7 hingga 15 November nanti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Salah seorang daripada atlit Malaysia yang akan berusaha bagi mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan dunia itu adalah Muhamad Ashraf Muhammad Haisham. Ashraf akan beraksi dalam acara 1500 meter kategori T46.

“Saya ingin memperbaharui rekod peribadi, kejohanan ini adalah peluang terbaik untuk saya dapatkan keyakinan bersaing dengan atlit bertaraf dunia sebagai persediaan utama saya, iaitu bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo 2020,” kata Ashraf ketika dihubungi.

Pelari berusia 23 tahun itu baru sahaja pulih dari kecederaan dan pastinya kini bersemangat untuk memperbaiki catatan yang dilakukannya di Kejohanan Terbuka Handisport Paris pada September lalu. Dalam kejohanan tersebut, Ashraf menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 4:24:51 saat.

“Saya baru memulakan latihan penuh tiga minggu lepas. Sebelum ini saya hanya mengikuti latihan pemulihan kerana ada masalah ‘slip disc’ tahap 4/5. Sekarang saya sudah sembuh 100 peratus dan kini saya sudah mula mendapat prestasi sebenar saya untuk benar-benar memberi saingan di Dubai.”

Ashraf Haisham merupakan pemenang pingat emas Sukan Para Asean 2017 dan pingat perak Sukan Para Asia 2018. Mengikut kedudukan rasmi dalam Olahraga Para Dunia bagi tahun 2019, Ashraf berada di kedudukan ke-24 dunia tetapi pernah menduduki tangga keenam dunia pada tahun 2018 berdasarkan pencapaian terbaiknya, di Sukan Para Asia Jakarta dengan catatan masa 4:17:02.

 

Kredit foto: MISIM

Comments