#KamiLuarBiasa: ‘Harimau Buta’ tekad rebut peluang ke Paralimpik Tokyo 2020

Khairul Nizam Khairul Nizam

Misi ke Paralimpik Tokyo 2020 bakal bermula buat skuad bolasepak masalah penglihatan negara.

Bakal beraksi di Kejohanan Bolasepak Masalah Penglihatan Asia di Pattaya, Thailand pada 27 September hingga 7 Oktober ini, skuad negara mengimpikan untuk merebut salah satu daripada dua slot untuk mara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Bagi ketua jurulatih negara, Sunny Shalesh dia bakal mempertaruhkan majoriti pemain-pemain lama dengan gabungan beberapa pemain baru untuk cuba sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kejohanan itu.

“Komposisi pasukan 2/3 terdiri daripada pemain lama yang bersama pasukan sejak tahun 2015. Kita mengambil dalam tiga atau empat orang pemain baru yang kami pilih daripada kejohanan-kejohanan pembangunan berlangsung sepanjang tahun 2019. Inilah yang kami nak sebenarnya, bila ada pemain senior yang terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan, pemain pelapis sentiasa ada,” kata Sunny seperti dilaporkan RTM.

Malaysia diletakkan di Kumpulan B bersama pasukan nombor enam dunia, Iran, bersama Jepun dan pasukan yang pertama kali membuat penampilan di pentas Asia, Oman.

Di Kumpulan A pula, juara bertahan yang juga pasukan nombor tiga dunia, China diundi bersama tuan rumah, Thailand, Korea Selatan dan satu lagi pasukan yang beraksi buat pertama kali di Kejohanan Asia, India.

Dalam kejohanan di Kuala Lumpur pada tahun 2017, Malaysia gagal mara ke separuh akhir apabila tewas dua perlawanan mereka bertemu Iran dan Korea Selatan sekaligus meranapkan impian mereka untuk ke Piala Dunia.

Malaysia akan memulakan aksi mereka dengan berdepan Iran pada 30 September ini pada pukul 4.30 petang (waktu Malaysia).

 

Kredit foto: MISIM

Comments