#KamiLuarBiasa: Mengenang kembali 4.30 pagi 11 September 2016

Khairul Nizam Khairul Nizam

4.30 pagi pada 11 September 2016.

Ketika ramai rakyat Malaysia sedang lena diulit mimpi, mungkin keletihan memandu jauh pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada keesokan harinya, sejarah tercipta buat Malaysia.

Kebanyakan rakyat Malaysia masih terasa dengan kekecewaan tidak dapat merangkul emas di Sukan Olimpik terutamanya dalam acara badminton di mana kita mempunyai tiga wakil yang mara ke perlawanan akhir. Rupa-rupanya tiga pingat emas itu tetap ada buat Malaysia, tetapi dalam temasya yang berbeza.

Atlit kelahiran Perlis itu telah menjadi satu ikon buat sukan Para di Malaysia. Buat pertama kali di Sukan Paralimpik, kita mempunyai atlit yang bergelar juara dunia dan juga pilihan untuk memenangi pingat emas. Tetapi itu tetap bukan satu perkara yang mudah kerana dia akan berdepan beberapa pencabar utama seperti Yang Yifei dari China, Roman Pavlyk dari Ukraine dan pelari tuan rumah, Rodrygo Parreira da Silva.

Berbekalkan laptop, internet dan laman Youtube, ada sebilangan rakyat Malaysia yang bangun di pagi hari untuk melihat detik bersejarah ini.

Debaran kian terasa ketika semua pelari mula diperkenal. “Inilah dia juara dunia, seorang atlit yang hebat dan bersemangat, Harimau Malaysia, Mohamad Puzi, seorang yang popular, pemenang pingat emas di Doha dan Kejohanan Asia-Oceania,” kata pengulas.

Semua pelari bersedia. Foul Start! Ada sedikit rasa takut kerana khuatir Ridzuan yang melakukan foul start. Rupa-rupanya Roman Pavlyk, salah seorang pencabar Ridzuan yang melakukannya. Semakin kuat rasa bahawa Ridzuan akan menamatkan penantian Malaysia untuk merangkul pingat emas di temasya bertaraf dunia.

Sekali lagi pelari bersedia. Poom! Permulaan baik daripada Ridzuan tetapi disaingi juga oleh Yang Yifei. Pelari China itu nampak berada di hadapan dengan Ridzuan mengekori rapat. Dua atlit ini berada di kelas berbeza dan mula meninggalkan semua pelari lain. Semakin hampir ke garisan penamat, dan Harimau Malaysia mula mengorak langkah. Ridzuan kini berada di hadapan. Yang Yifei nampak bergelut untuk mengekalkan rentaknya dan jarak ke garisan penamat semakin hampir. RIDZUAN PUZI PEMENANG PINGAT EMAS PARALIMPIK PERTAMA MALAYSIA!

Air mata jatuh ke pipi. Tangisan kegembiraan yang pastinya dialami oleh rakyat Malaysia yang bangun menyaksikan peristiwa yang cukup bersejarah itu. Bangga, gembira dan kagum. Ketika ramai di antara kita tidak mengambil peduli mengenai atlit dan sukan para ketika itu, merekalah yang menjadi atlit pertama Malaysia untuk merangkul pingat emas di temasya sukan terbesar dunia. Ridzuan Puzilah yang memulakan segala-galanya buat Malaysia.

Tidak lama selepas kemenangan Ridzuan, Malaysia merangkul pingat emas kedua. Kali ini menerusi acara lontar peluru F20 yang dimenangi oleh Ziyad Zolkefli. Emas dan rekod dunia buat atlit dari Selangor ini.

Kejayaan Malaysia tidak terhenti setakat itu apabila seorang lagi atlit dari Perlis, Abdul Latif Romly menghadiahkan satu lagi pingat emas buat Malaysia. Ketika itu ramai mula sedar kejayaan atlit Para di Rio dan mengambil tahu apa yang sedang berlaku. Tanda pagar #TerbangLatifTerbang menjadi tular di media sosial. Latif mengikut jejak langkah Ziyad apabila merangkul pingat emas dan memecahkan rekod dunia bagi acara lompat jauh T20.

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan menjelma pada tahun hadapan. Tiga atlit ini akan kekal menjadi sandaran buat Malaysia untuk merangkul pingat emas. Lebih ramai atlit para mula mendapat perhatian dan nampaknya ada beberapa yang berpotensi untuk menambah pungutan pingat emas buat Malaysia. Semua ini bermula daripada peristiwa pada 4.30 pagi, 11 September 2016 di Rio de Janeiro.

 

Comments