#KamiLuarBiasa: Jadual acara Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah dimuktamadkan

Khairul Nizam Khairul Nizam

Tinggal 377 hari sahaja lagi menjelang Sukan Paralimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun.

Jadual bagi setiap acara yang akan berlangsung di temasya sukan para terbesar dunia itu nampaknya kini sudah dimuktamadkan.

Berdasarkan jadual yang baru diumumkan itu, Majlis Perasmian bagi Paralimpik Tokyo 2020 akan berlangsung pada 25 Ogos dan majlis penutup akan berlangsung pada 6 September.

Perhatian rakyat Malaysia sudah tentu akan tertumpu kepada acara olahraga di mana tiga pingat emas berjaya dipungut pada temasya 2016 oleh Ridzuan Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli. Acara olahraga Para akan bermula pada 28 Ogos dan tamat pada 5 September.

Dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh dua lagi atlet negara pada tahun ini iaitu S. Suresh dan Bonnie Bunyau Gustin, pastinya kita juga mengharapkan kejayaan oleh dua bintang baru ini pada tahun hadapan. Acara memanah akan bermula pada 28 Ogos dan tamat pada 5 September. Bagi powerlifting pula, acara akan bermula pada 27 sehingga 31 Ogos.

Acara-acara lain yang mungkin bakal disertai oleh atlet negara adalah seperti Berbasikal (26 Ogos – 4 September), Renang (26 Ogos – 4 September), Tennis kerusi roda (28 Ogos – 5 September) dan Badminton (2-6 September).

Seramai 4,400 atlet dari seluruh dunia akan beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. 540 acara akan berlangsung daripada 22 sukan yang akan dipertanding di 21 lokasi di sekitar Tokyo. Adakah Malaysia akan mampu mengulangi kejayaan merangkul tiga pingat emas dan satu gangsa seperti yang dilakukan pada tahun 2016 lalu? atau adakah kita akan melihat lebih ramai atlet luar biasa negara merangkul pingat untuk mengatasi kejayaan di Rio yang lalu? Sama-sama kita nantikan pada tahun hadapan.

 

Kredit foto: MISIM

Comments