#KamiLuarBiasa: Nur Syaiful rangkul gangsa, pecah rekod Asia di Kejohanan Renang Para Dunia

Khairul Nizam Khairul Nizam

Terus membanggakan Malaysia.

Nampaknya seorang demi seorang atlit Para berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dengan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bakal menjelang pada tahun hadapan.

Atlit renang negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafly berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 50 meter Gaya Bebas S5 di Kejohanan Renang Allianz Para Dunia yang berlangsung di London, semalam.

Nur Syaiful melakukan catatan masa 33.20 saat, menyamai rekod yang dilakukannya ketika pusingan kelayakan yang juga merupakan rekod baru Asia untuk acara tersebut.

Atlit dari Brazil, Daniel Dias muncul pemenang pingat emas bagi acara tersebut dengan catatan masa 31.83 saat yang juga rekod baru Amerika sementara Francesco Borriardi dari Itali merangkul pingat perak.

Kejohanan Renang Allianz Para Dunia berlangsung di London pada 9-15 September ini. Seramai lima orang atlet negara menyertai kejohanan ini iaitu Nur Syaiful Zulkafly (S5), Jamery Siga (S5), James Wong (S8), Julius Jaranding (S12) dan Brenda Anellia Larry (S4).

Comments