#KamiLuarBiasa: Skuad bolasepak CP negara uji Singapura sebagai persiapan Para Asean

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kini sudah sampai masa untuk semua atlit negara melakukan persiapan sehabis baik. Ini bukan sahaja untuk atlit normal yang akan beraksi di Sukan SEA pada bulan November nanti, tetapi juga atlit Para yang akan menyertai kontinjen negara ke Sukan Para Asean pada bulan Januari.

Selepas selesai menjalani persiapan dan pemilihan barisan pemain yang akan menyertai pasukan, skuad bolasepak Cerebral Palsy negara kini dalam rangka mempersiap pasukan untuk memastikan mereka dapat memperbaiki keputusan pada Suka Para Asean 2017 di Kuala Lumpur di mana mereka merangkul pingat gangsa.

Anak buah Asnan Md Zuki kini dalam rangka persiapan terakhir dan akan menguji tahap keupayaan mereka dengan mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan Singapura.

Tiga perlawanan tersebut akan berlangsung pada 12, 14 dan 16 Oktober ini di Padang Turf Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut pengurus pasukan, Ahmad Ikram Zakaria, objektif mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pemain baru mengenai situasi dalam perlawanan sebenar, mengenal pasti prestasi pemain dan mencuba taktikal pasukan yang sesuai dengan kekuatan pemain yang ada.

Skuad bolasepak CP negara mensasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke perlawanan penentuan pingat emas pada Sukan Para Asean di Filipina nanti. Pada edisi sebelum ini di Kuala Lumpur, Thailand meranapkan harapan skuad negara untuk mara ke perlawanan akhir tetapi skuad negara berjaya merangkul pingat gangsa dengan menewaskan Singapura 4-0.

 

Comments