Jaringan awal Kedah ganggu perancangan PJ City

Khairul Nizam Khairul Nizam

Persiapan rapi Petaling Jaya City bagi berdepan Kedah dalam saingan pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 nampaknya tidak berjaya diterjemah di atas padang.

Menurut pembantu ketua jurulatih PJ City, Hong Seng Leong, jaringan awal Kedah telah membantutkan perancangan mereka. Kedah menjaringkan gol seawal minit ke-3 menerusi situasi sepakan penjuru. Ketika PJ City cuba mencari jalan untuk bangkit semula, gerakan solo dan jaringan gol Zaquan Adha pada minit ke-55 terus mematikan impian mereka mencatat kemenangan di Stadium Darul Aman.

“Untuk perlawanan ini sebenarnya kami sudah melakukan persiapan sejak tiga minggu yang lalu. Kami sudah membuat persiapan yang rapi, malangnya sepakan penjuru di minit kedua perlawanan telah menjejaskan permainan kami dan kami cuba membalas balik. Sayangnya pada separuh masa kedua kami tidak dapat bertahan dengan baik dan bolos gol kedua. Pemain mula hilang fokus dan melakukan kesilapan selepas itu.

“Jika anda lihat di penghujung babak pertama, kami membuat banyak serangan dan hampir mendapat sepakan penalti tetapi tidak diberikan. Itu memberi motivasi kepada kami dan pasukan cuba bangkit di separuh masa kedua dengan momentum yang sama, tetapi kesilapan pemain menyebabkan Zaquan dapat menjaringkan gol dengan begitu mudah.”

Penyerang berpengalaman, Safee Sali tidak diletakkan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan ini kerana menurut Hong Seng Leong, mereka mahu merehatkannya.

“Kami sudah menggunakan khidmat Safee Sali dalam tiga perlawanan sebelum ini. Faktor umur mungkin membuatkan Safee Sali sedikit perlahan, jadi kami mahu merehatkannya dan masukkan pada separuh masa kedua pada mulanya. Semasa dia memanaskan badan, keputusan masih 1-0 dan merancang untuk masukkan dia selepas 10 minit, tetapi kami sudah bolos dua gol. Sukar untuk seorang penyerang membantu melakukan ‘comeback’ selepas ketinggalan dua gol terutamanya dengan usianya sekarang”

PJ City selepas ini akan berdepan pasukan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam aksi Liga Super pada hari Sabtu ini.

 

Kredit foto: Malaysia Football League (MFL)

Comments