Aidil mahu Bauman dan Rodriguez lebih tajam

Khairul Nizam Khairul Nizam

Helang Merah nampaknya mahu mengasah kuku mereka.

Selepas kekecewaan tewas kepada Terengganu FC di laman sendiri dalam perlawanan terakhir mereka, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu dua penggempurnya, Fernando Rodriguez dan Jonatan Bauman mempertajam bisa serangan mereka bagi merobek gawang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Dalam satu laporan Berita Harian, Aidil telah memberi peringatan kepada dua pemain itu supaya Kedah dapat bangkit semula dalam saingan Piala Malaysia. Bauman dan Rodriguez setakat ini masing-masing baru menjaringkan satu gol selepas dua perlawanan.

“Saya sudah memberi amaran kepada penyerang Fernando Rodriguez dan Jonatan Bauman selepas kami tewas kepada TFC minggu lalu agar mereka lebih fokus dan mempertingkatkan aspek ketajaman serangan dalam usaha memburu tiga mata berdepan PKNS kali ini.

“Kekalahan kepada Terengganu FC minggu lalu benar-benar meninggalkan kesan kepada pasukan dan juga penyokong di laman sendiri dan kita mahu pastikan momentum yang kita mulakan dengan kemenangan di Paroi dapat disambung selepas ini.

“Saya berharap dengan semangat baharu yang kami ada, kami harus bangkit melenyapkan kekecewaan lalu dan sudah semestinya kutipan tiga mata akan menjadi sasaran utama kami di tempat lawan nanti,” katanya.

Buat masa ini, Kedah berada di tangga kedua Kumpulan A, dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Negeri Sembilan dalam perlawanan pertama mereka. Mengekori rapat mereka adalah PKNS yang juga mempunyai tiga mata, tetapi perbezaan jaringan yang tipis membolehkan Helang Merah berada di atas mereka.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments