Kipre Tchetche mampu bantu Terengganu FC pamer aksi cemerlang di Piala Malaysia

Khairul Nizam Khairul Nizam

Penyerang import Terengganu FC, Kipre Tchetche pada awal musim lalu antara pemain yang menerima kritikan hebat selepas TFC menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan.

Kemarau gol yang dilalui oleh penyerang Ivory Coast itu menyebabkan dia dikritik hebat oleh penyokong Terengganu sehingga jawatan ketua pasukan yang digalasnya dilucutkan dan ada segelintir peminat yang mahu dia digantikan.

Tetapi hasil kerja keras dan kepercayaan yang diberikan oleh pasukan, Kipre mula kembali mendapat rentaknya dan membantu Terengganu FC menamatkan kempen Liga Super di tangga ketujuh. Kipre nampaknya meneruskan prestasi baiknya dalam saingan Piala Malaysia terutamanya ketika membantu skuad penyu menumbangkan Kedah di Stadium Darul Aman pada 8 Ogos biarpun mereka beraksi dengan 10 orang pemain.

“Saya begitu gembira selepas berjaya menjaringkan dua gol yang begitu bermakna buat pasukan di tempat lawan, lebih menggembirakan apabila jaringan itu adalah gol permulaan dalam saingan Piala Malaysia.

“Saya juga gembira dengan persembahan rakan sepasukan yang beraksi cemerlang dan berdisiplin walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain dalam tempoh yang lama,” kata Kipre seperti dilaporkan Berita Harian.

Kipre kini berkongsi jaringan terbanyak buat pasukan Terengganu FC dalam saingan Piala Malaysia bersama pemain tengah, Sanjaar Shaakhmedov. Dua pemain ini cuma kurang satu gol sahaja berbanding penyerang JDT, Diogo dan penyerang Felda United, Khairul Amri Kamal yang setakat ini merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan dua gol.

Skuad kendalian Nafuzi Zain akan menerima kunjungan Negeri Sembilan dalam perlawanan mereka yang seterusnya pada 17 Ogos nanti. Sudah tentu Kipre akan sekali lagi menjadi sandaran untuk Terengganu meneruskan rentak cemerlang dan sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian musim lalu apabila mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

 

Kredit foto: Terengganu FC

 

Comments