Sathianathan mahu Selangor atasi ‘mental block’

Khairul Nizam Khairul Nizam

“Saya kena bagi cuti Raya Haji dulu. Tapi dalam masa cuti raya itu, kita kena jaga kecergasan. Saya akan fikirkan mengenai PDRM selepas raya.

Selepas kemenangan 1-0 ke atas Melaka United dalam aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia, ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan belum mahu memikirkan mengenai pencabar mereka yang seterusnya, PDRM.

Biarpun berjaya menjadi pendahulu Kumpulan D selepas memungut empat mata daripada dua perlawanan, Sathia nampaknya masih belum berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan merasakan ‘mental block’ menjadi punca kepada kegagalan anak buahnya mengekalkan aksi konsisten.

“Ini masalah ‘mental block’. Ianya bukan masalah kecergasan kerana saya sudah melatih banyak pasukan dan biasanya akan ada pemain mengalami ketegangan otot di penghujung perlawanan, tetapi kami tiada. Jadi ini bukan masalah kecergasan tetapi masalah mental. Setiap kali kami mendahului, kami bagaikan tertanya jika betul kami sedang mendahului.

“Kami selalu bolos , mungkin hampir 60 peratus adalah dari situasi ‘set piece’ dan serangan balas pantas. Kami yang lakukan kesilapan. Ada masanya kami boleh memegang bola, tetapi pemain lepaskan. Ini yang kami perlu kuatkan, iaitu mental kami. Kami tidak boleh ubah cara bermain, kami juga perlu lebih disiplin. Mereka ketinggalan 1-0 , jadi mereka akan hantar ramai pemain untuk menyerang. Saya dah suruh pakar psikologi daripada UiTM untuk cuba mengatasi masalah ‘mental block’ ini,” kata Sathia selepas perlawanan pada hari Khamis lalu.

Selangor akan berdepan PDRM pada 18 Ogos nanti bagi menutup saingan pusingan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia. Bagi saingan pusingan kedua, Selangor sekali lagi akan berdepan PDRM cuma kali ini di tempat lawan pada 21 Ogos nanti.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments