Kami perlu berhenti membuat kesilapan – Mehmet Durakovic

Khairul Nizam Khairul Nizam

Dalam bolasepak, kesilapan mampu mengundang padah.

Itulah yang berlaku ketika Perak berkunjung ke Stadium Darul Makmur malam semalam bagi berdepan Pahang. Dalam perlawanan tersebut, jaringan daripada Herold Goulon, Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi mengecewakan juara bertahan Piala Malaysia itu.

Bagi ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, dia merasa kecewa dengan kesilapan mudah yang dilakukan anak buahnya yang membuatkan mereka gagal membawa pulang sebarang mata.

“Saya sangat kecewa terutamanya dengan gol pertama. Tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir. Kami meletakkan pemain untuk mengawal setiap pemain mereka. Semua pemain tahu siapa mereka perlu jaga, tetapi dia (Goulon) tidak dikawal dan mereka jaringkan gol. Mereka berjaya mendahului 1-0 di separuh masa pertama ketika kami mula bermain baik. Kemudian di separuh masa kedua, kami cuba membuat perangkap ‘offside’, perkara yang kami tidak pernah lakukan dan ianya tidak menjadi.

“Biarpun begitu, saya tetap gembira dengan komitmen pemain saya. Ianya tidak mudah beraksi di sini, tetapi kami membuat kesilapan dan ianya membuatkan kami tewas. Kami perlu bangkit semula, tidak boleh terlalu memikirkan mengenai perlawanan ini dan mula fokus perlawanan seterusnya.”

Bila ditanya mengenai peluang pasukannya untuk mara ke pusingan seterusnya, Mehmet tahu mereka mampu melakukan demikian, tetapi perlu mempertingkat persembahan dan memperbaiki kesilapan mereka.

“Kami akan ambil satu demi satu perlawanan. Kami tahu ianya tidak mudah kerana kumpulan ini boleh dikatakan kumpulan maut. Kami tahu sukar mendapat mata di Pahang kerana mereka pasukan yang baik dengan pemain tempatan dan import yang bagus. Mereka mempunyai jurulatih yang bagus, jadi ia bukan perkara mudah. Kami perlu bangkit semula dan dapatkan tiga mata minggu hadapan. Kami perlu berhenti membuat kesilapan jika mahu berada bersama pasukan-pasukan hebat.”

Perak kini berada di tangga kedua Kumpulan C selepas memungut hanya tiga mata daripada dua perlawanan, terikat dengan Pulau Pinang, tetapi mempunyai kelebihan jaringan gol. Perlawanan dia antara dua pasukan ini di Ipoh pada 17 Ogos nanti mungkin boleh memberi petunjuk siapa akan berpeluang layak ke suku akhir Piala Malaysia 2019.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments