Pahang mahu dapatkan sembilan mata dalam tiga perlawanan pertama

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kemenangan 3-0 Pahang ke atas Perak boleh dikatakan seperti membalas dendam kekalahan mereka ke atas The Bos Gaurus di separuh akhir Piala FA. Segalanya bagaikan serba menjadi buat Tok Gajah dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Pahang menjaringkan gol menerusi pemain-pemain import mereka iaitu Herold Goulon, Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi. Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh ternyata gembira dengan aksi anak buahnya.

“Memang puas hati. Hari ni saya tiada tekanan. Pujian pada pemain. Hari ni betul-betul disiplin ketika bertahan dan membuat serangan balas serta membuat ‘pressing’ awal. Apa yang kita terapkan dalam latihan, mereka tunjukkan malam ini (semalam). Saya rasa semua pemain bagi yang terbaik malam ni,” kata Dollah selepas perlawanan.

Biarpun kini sudah mengumpul enam mata daripada dua perlawanan dan berada di tangga teratas Kumpulan C, Dollah masih belum mahu mendabik dada. Dia mahu pasukannya berkerja keras dan memberikan fokus yang tinggi supaya Pahang dapat menjulang trofi Piala Malaysia.

“Kami memang pandang serius semua perlawanan. Sekarang kami sudah mendapat enam mata, jadi kami tidak boleh fikir kami sudah layak. Saya rasa sekarang kalau dapat 10 mata pun belum tentu layak lagi. Jadi kami perlu pastikan, jika boleh dapat sembilan mata dalam pusingan pertama ini, kami dapatkan sembilan mata. Saya pun selalu tekankan pada pemain dan kami memang mahu dapatkan sesuatu dalam Piala Malaysia ini.”

Skuad Tok Gajah selepas ini akan bertandang ke Stadium Likas untuk berdepan pasukan Sabah pada 17 Ogos nanti.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

Comments