Kami bermain baik, tetapi gagal sempurnakan peluang yang ada – Jelius Ating

Khairul Nizam Khairul Nizam

Kekalahan Sabah 2-1 Sabah kepada Pulau Pinang dalam aksi kedua Kumpulan C menyaksikan skuad kendalian Jelius Ating itu masih belum mengumpul sebarang mata dalam dua perlawanan.

Hadir dengan status juara Liga Premier, mungkin ada yang menyangka Sabah mampu membawa pulang tiga mata daripada Pulau Pinang. Tetapi bagi Jelius, gelaran itu bukan satu jaminan buat mereka biarpun pasukannya beraksi baik dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi.

“Bermain baik itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan. Setiap pasukan pasti akan menggunakan peluang yang ada dan itu yang akan membantu memenangi perlawanan. Seperti malam ini, kita lihat Pulau Pinang menggunakan peluang yang mereka dapat untuk menjaringkan gol dan satu lagi yang dibantu oleh kesilapan pertahanan kami sendiri. Jadi apa-apa pun saya tetap berpuas hati dengan prestasi pemain pada malam ini dan harap akan berjaya dalam perlawanan akan datang.

“Bagi saya, setelah kami menang liga, itu bukan satu jaminan kami boleh mengatasi mana-mana pasukan kerana kita tahu bahawa pasukan Pulau Pinang adalah pasukan yang meningkat sejak kebelakangan ini. Mereka tidak kalah dalam beberapa perlawanan terakhir mereka. Kami perlu akui bahawa mereka pasukan yang baik. Tetapi kami datang ke sini dengan melihat kepada kemampuan kami dan bukan pihak lawan. Sudah tentu kami ada sasaran sendiri untuk pastikan kami bermain baik dan bawa balik mata,” kata Jelius dalam sidang media selepas perlawanan.

Selepas ini Sabah akan menerima kunjungan Pahang di Stadium Likas dalam aksi ketiga Kumpulan C pada 17 Ogos nanti. Jika skuad Tambadau gagal menumpaskan Pahang dalam perlawanan mereka yang seterusnya, peluang mereka untuk layak ke suku akhir pastinya akan semakin tipis.

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments