Pulau Pinang tunggu selepas perlawanan Perak-Pahang untuk susun strategi

Khairul Nizam Khairul Nizam

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira pastinya gembira selepas pasukannya berjaya mendapat tiga mata pertama dalam aksi kedua Kumpulan C menentang Sabah di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang semalam.

Skuad Harimau Kumbang berjaya mencatat kemenangan 2-1 hasil jaringan Julian Bottaro dan jaringan sendiri Evan Wensley Wenceslaus. Namun begitu, Pulau Pinang tidak berjaya mendapatkan ‘clean sheet’ yang dicari apabila Sabah dapat menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti Rodoljub Paunovic, penalti kedua yang diberikan oleh Pulau Pinang dalam dua perlawanan.

“Kami perlu perbaiki pertahanan. Kemampuan pemain kami di bahagian pertahanan dari segi pengalaman masih kurang dalam aksi Piala Malaysia ini. Kami sedang cuba meningkatkan kekuatan supaya dalam perlawanan seterusnya kami dapat elak melakukan kesilapan mudah kerana sudah dua perlawanan kami hadiahkan penalti. Menentang Pahang dan juga perlawanan ini. Sampai bila kami mahu hadiahkan gol macam ini? Jadi kalau boleh, itu kami perlu perbaiki.

“Kami perlu disiplin dari segi bertahan dan menyerang kerana kita tau Perak mempunyai kelebihan dari segi kualiti individu, serta semangat pasukan Perak yang baru habis perlawanan akhir Piala FA. Ini juga bergantung kepada hasil perlawanan di antara Pahang dan Perak (malam ini), mungkin akan dapat kelebihan jika ada pemain mereka yang tercedera atau menjalani penggantungan. Kami akan lihat balik bagaimana untuk menyusun strategi,” kata Manzoor selepas perlawanan semalam.

Pulau Pinang kini berada di tangga ketiga kumpulan selepas memungut tiga mata daripada dua perlawanan. Dengan kehadiran Perak dan Pahang, mungkin sukar untuk Pulau Pinang layak ke pusingan seterusnya, tetapi Manzoor Azwira tetap enggan menyerah kalah dan mahu anak buahnya terus berjuang.

“Harapan kami (untuk layak) tu tinggi, tetapi peluang mungkin tipis dengan kekuatan Pahang dan Perak serta Sabah. Tapi apa-apa sahaja boleh berlaku dalam bolasepak. Bagi Pulau Pinang, kami akan sentiasa berikan yang terbaik. Kami juga akan pastikan pemain-pemain meningkat dari perlawanan ke perlawanan.”

 

Kredit foto: Malaysia Football League

 

Comments