Piala FA 2020 : Kevin Cooper ingatkan anak buah supaya tidak leka

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia atau kini dikenali Armed Forces Football Club (AFFC) Kevin Cooper mengingatkan pemainnya agar tidak sama sekali memandang mudah perlawanan pusingan kelayakan Piala FA 2020 menentang Naib Juara Terengganu Amateur League, Delima Warriors di Kuala Berang pada Ahad ini.

Meskipun di atas kertas kelebihan dilihat memihak kepada pasukannya, Cooper yang merupakan bekas pemain beberapa pasukan ternama satu ketika dahulu seperti Wolverhampton Wanderers, Cardiff City dan Norwich City pada awal 2000-an, mengakui telah melihat pelbagai kejutan telah berlaku membabitkan saingan Piala FA seperti mana ketika beliau beraksi di England, justeru menegaskan AFFC perlu berhati-hati.

“Saya berdepan banyak pengalaman seperti ini ketika bergelar pemain di England, ada masanya pasukan pilihan gagal peragakan prestasi yang baik dan ini buka ruang kepada pasukan yang mereka temui mendapatkan keputusan positif.

“Jadi, saya telah ingatkan pemain agar tidak sama sekali menganggap pertemuan ini sebagai sesuatu yang mudah dan mereka kena sentiasa peraga prestasi terbaik di atas padang.

“Selaku jurulatih, waktu rehat yang panjang iaitu bermula Oktober lalu dan aksi liga yang akan bersambung pada Mac ini juga satu cabaran tersendiri kepada saya dalam mengekalkan motivasi mereka serta tahap kecergasan.

“Tidak sukar untuk saya menganalisa kekuatan lawan berdasarkan teknologi media sosial pada waktu kini dan sememangnya kami cuba serba sedikit mengenali lawan sebelum bertemu di atas padang,” katanya.

Sepertimana musim lalu, AFFC mengekalkan 100 peratus pemain dari pegawai dan staf tentera serta tidak menggunakan kudrat import bagi harungi musim 2020.

Sementara itu, antara perlawanan lain kelayakan Piala FA 2020 yang akan berlangsung pada minggu ini  adalah melibatkan pasukan dari Klang Valley League (KVL) Red Spade United FC menentang Sarawak; Real Chukai FC menentang Melawati FC; Pandan United FC menentang Langkawi City FC; Melaka United FC dan Ikram Muda FC serta KT Rovers turun menentang skuad bimbingan Azman Adnan, Ultimate FC kesemuanya pada Sabtu.

Manakala pada Ahad Klasiko FC berdepan KL Rovers; juara Piala TAL, Kerteh FC berdepan Northern Lions Football Club (NLFC)-MAHSA di Stadium Mak Chili; pasukan yang diperkuat ramai pemain berpengalaman, Harini KS pula bakal menerima kunjungan wakil dari Perlis, Kuala Perlis FC di Stadium Utama Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Foto : Zimbio

Comments