Nor Azam tekad bawa Malaysia ke perlawanan akhir Piala Airmarine

Mahu gunakan sebaiknya peluang kedua.

Itulah tekad pemain tengah negara, Nor Azam Azih yang bakal beraksi dalam kejohanan Piala Airmarine 2019 selepas dia terlepas peluang beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu.

Persembahan baik pemain berusia 24 tahun ini bersama Pahang musim ini telah menarik perhatian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dan Azam mahu memberikan yang terbaik bermula dengan perlawanan berdepan Singapura pada hari Rabu depan.

“Saya agak terkejut menerima panggilan skuad kebangsaan kali ini.

“Sebelum ini saya ditimpa kecederaan dan dengan peluang yang diberikan jurulatih kali ini, saya akan buktikan kemampuan.

“Kali ini, saya mahu membawa Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Air Marine,” ujar Nor Azam.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Airmarine 2019 berdepan jiran seberang tambak, Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Mac nanti dan jika menang akan berdepan sama ada Oman atau Afghanistan pada 23 Mac.

 

Kredit foto: FAM

Comments