Umi Syuhadah rangkul pingat kedua di Dubai

Satu lagi pingat buat Malaysia dan Umi Syuhadah Idris!

Selepas berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara lontar peluru F37, Umi Syuhadah Idris berjaya merangkul pingat perak pula dalam acara lempar cakera F37 di Kejohanan Grand Prix Antarabangsa Fazza 2019 yang berlangsung di Dubai.

Dalam acara itu, Umi berjaya mencatatkan jarak lontaran sejauh 22.00 meter untuk merangkul pingat perak. Atlet dari Republik Czech, Eva Datinska merangkul pingat emas dengan catatan jarak 25.83 meter dan pingat gangsa dimenangi Zahra Alkalaib dengan catatan jarak 15.31 meter.

Malaysia menamatkan aksi di Dubai dengan memungut lima pingat. Selain daripada dua pingat yang dimenangi Umi Syuhadah, satu pingat emas dimenangi oleh Afiq Ali Hanafiah dalam acara 100 meter T12, satu lagi pingat perak dimenangi oleh Ahmad Solihim Mohd Nor dalam acara 100 meter T46 dan satu pingat gangsa dimenangi oleh Saifuddin Ishak dalam acara lompat jauh T12.

Comments