Umi Syuhadah bantu Malaysia rangkul pingat ketiga di Dubai

Satu lagi pingat dimenangi atlet Malaysia dalam Kejohanan Grand Prix FAZZA Olahraga Para Dunia 2019 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Atlet lontar peluru wanita negara, Umi Syuhadah Idris memenangi pingat gangsa dalam kategori F35-37 dengan jarak lontaran sejauh 8.12 Meter. Acara tersebut dimenangi oleh Birgit Kober dari Jerman dengan jarak lontaran 1..32 Meter dan pingat perak dimenangi Eva Datinska dari Republik Czech dengan jarak lontaran 11.06 meter.

Seorang lagi atlet negara, Muhamad Ashraf Muhammad Haisham pula terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga dalam acara 1500 Meter T46 dengan catatan masa 4:25.57 Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2018, Samir Nouioua unggul dengan catatan masa 4:05,57 saat jauh meninggalkan Nader Juft dari Iraq (4:19,03) dan Ashraf.

Setakat ini Malaysia sudah memungut satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa dalam kejohanan ini. Pingat emas Malaysia dimenangi oleh Afiq Ali Hanafiah dalam acara 100 Meter T11 dan pingat perak Malaysia dimenangi oleh Ahmad Solihim Mohd Nor dalam acara 100 Meter T46 semalam.

Seorang lagi atlet Malaysia, Mohd Saifuddin Ishak akan beraksi dalam acara lompat jauh T12 esok dan Umi Syuhada juga akan beraksi sekali lagi tetapi bagi acara lempar cakera wanita F37.

 

Kredit foto: MSN Malaysia

Comments