#KamiLuarBiasa: Ziyad rangkul pingat perak di Kejohanan Dunia 2019

Khairul Nizam Khairul Nizam

Atlet lontar peluru F20 negara, Ziyad Zolkefli dikejutkan oleh atlet Ukraine, Maksym Koval yang berjaya membawa pulang pingat emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019, Dubai.

Ziyad yang mendahului dari awal dikejutkan dengan balingan terakhir Maksym Koval yang mencatatkan jarak 17.11 meter, menewaskan lontaran terbaik Ziyad yang merekodkan jarak 17.03 meter.

Dalam acara itu, Ziyad turut merekodkan jarak lontaran 15.67 meter, 16.81 meter, 16.75 meter, 16.08 meter dan juga 16.48 meter. Ini adalah kali pertama Ziyad tidak memenangi pingat emas di kejohanan dunia sejak tahun 2015 di mana dia memenangi pingat gangsa.

Biarpun begitu, Ziyad masih memegang rekod dunia bagi acara lontar peluru F20 menerusi rekod 17.29 meter yang dicatatnya dalam kejohanan dunia di London pada tahun 2017. Pingat perak yang dimenangi Ziyad ini adalah pingat kedua dimenangi Malaysia dalam kejohanan ini selepas Jonathan Wong Kar Gee memenangi pingat perak bagi acara lompat jauh T12 pada hari Khamis lalu.

Seorang lagi atlet Malaysia, Mohamad Aliff Mohamad Awi menamatkan saingan di kedudukan ke-12 tetapi tetap berjaya memperbaiki rekod terbaiknya dengan lontaran sejauh 13.40 meter.

Comments