#KamiLuarBiasa: Pingat dan uniform larian obor Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diperkenal

Khairul Nizam Khairul Nizam

Dalam kita tidak sabar menunggu Sukan Olimpik, jangan dilupa bahawa tinggal kurang setahun lagi menuju Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sempena dengan itu, Jepun selaku negara penganjur temasya sukan kelainan upaya terbesar di dunia itu telah memperkenal pingat yang bakal menjadi rebutan atlit-atlit dari seluruh dunia, serta pakaian rasmi untuk acara larian obor Sukan Paralimpik nanti.

Menurut laman web rasmi Paralimpik, rekaan tersebut adalah berpusatkan motif kipas tradisional Jepun, yang menggambarkan bahawa Sukan Paralimpik sebagai satu angin baru meniup di seluruh dunia sebagai satu perkongsian pengalaman yang menyatukan kepelbagaian hati dan minda.

Titik Pangsi yang dipanggil Kaname, memegang semua bahagian kipas tersebut; ini menggambarkan atlit Para menyatukan orang ramai tanpa mengira bangsa dan negara. Motig kipas pada daun di kipas itu menggambarkan bagaimana Jepun yang menawan dan memberikan nyawa kepada alam semulajadi dalam bentuk batu, bunga, pokok, daun dan air. Ini digambarkan menerusi pelbagai teknik, menghasilkan tekstur permukaan yang membuatkan pingat tersebut menarik untuk disentuh.

Untuk membantu insan yang mempunyai masalah penglihatan, setiap pingat turut direka untuk mempunyai rasa yang berbeza apabila disentuh. Beberapa lekukan telah dihasilkan di bahagian tepi pingat di mana keunikan ini buat pertama kali dihasilkan dalam sejarah Paralimpik. Satu lekukan mewakili pingat emas, dua lekukan untuk perak dan tiga memberi maksud gangsa. ‘Tokyo 2020’ juga ditulis dalam tulisan Braille di permukaan pingat.

Sebagai sebahagian daripada Projek Pingat Tokyo 2020, pingat Sukan Paralimpik juga dihasilkan daripada besi-besi kitar semula daripada telefon bimbit dan pelbagai peralatan elektronik yang didermakan daripada orang ramai.

Riben untuk pingat menggunakan warna temasya iaitu, Indigo dan merah tua, dihasilkan dengan motif lambang berkotak tradisional Jepun (Kumiichi Matsumon) dalam rekaan yang menyatakan semangat temasya Sukan itu dan prinsip “Kesatuan dalam Kepelbagaian’. Titik cembung silikon turut dihasilkan di bahagian belakang riben, untuk membantu insan yang mempunyai masalah penglihatan membezakan pingat melalui sentuhan – satu untuk emas, dua untuk perak dan tiga untuk gangsa.

Bekas penyimpanan pingat buatan tangan yang dihasilkan menggunakan kayu oleh pakar-pakar pertukangan. Corak unik di setiap bekas kayu menggambarkan kepelbagian di Sukan Olimpik dan Paralimpik. Bekas yang berbentuk bulat dan penutupnya mempunyai magnet, membolehkan pingat dipersembah seperti ianya ditampung di dalam lingkaran yang bersatu.

Turut diperkenal kepada umum adalah pakaian yang akan dipakai oleh pembawa obor Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti. Ianya menggunakan konsep ‘Kongsikan Cahaya’ yang menggambarkan motif berkotak Tokyo 2020 dan rekaan uniform menggambarkan visi perkongsian di antara manusia dengan manusia dan masyarakat.

Ketika Larian Obor nanti, obor akan dinyalakan secara berasingan di 47 wilayah di Jepun, termasuk Stoke Mandeville, tempat kelahiran Paralimpik di Great Britain. Kesemua obor akan disatukan menjadi satu di Tokyo sebelum Upacara Pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Oleh sebab itu, rekaan uniform larian juga adalah untuk menggambarkan bagaimana obor yang datang daripada seluruh Jepun, serta semangat daripada pelbagai kumpulan pembawa obor yang membawanya dengan penuh rasa bangga. Selain itu, corak berkotak itu secara tradisi juga dikatakan membawa tuah di Jepun, dan dalam rekaan ini ianya digunakan untuk menggambarkan sinar yang dibawa oleh obor Paralimpik.

 

Kredit foto: Paralympics.org

 

Comments