Rekaan tiket Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 diperkenal

Khairul Nizam Khairul Nizam

Selepas memperkenal rekaan pingat dan obor, kini giliran tiket rasmi pula.

Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik (Tokyo 2020), semalam telah memperkenal rekaan untuk tiket rasmi bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Setiap tiket akan mempunyai lakaran simbol acara sukan mengikut disiplin, lakaran lokasi pertandingan, lambang temasya Tokyo 2020 dan diwarnakan mengikut lokasi serta bandar yang akan menjadi tuan rumah acara berkenaan.

Sejumlah 59 tiket untuk Sukan Olimpik dan 25 tiket  untuk Sukan Paralimpik telah direka bentuk untuk semua acara pertandingan telah diperkenal dengan penghantaran tiket akan bermula pada bulan Mei ini.

Rekaan tiket ini dihasilkan berdasarkan identiti visual temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 dan menggunakan inspirasi daripada tiga jenis segi empat tepat yang membentuk lambang Tokyo 2020 serta teknik Jepun yang dikenali sebagai kasane no irome, satu skema warna yang digunakan dalam penghasilan fabrik untuk Kimono ketika era Heian (794-1185).

Sering digunakan secara tradisional untuk menghasilkan pakaian untuk acara perayaan, skema warna ini mencerminkan lapisan warna asli mewakili semua empat musim di Jepun. Rekaan tiket ini juga menggunakan empat warna tradisi Jepun iaitu Kurenai (merah) yang sering digunakan untuk acara perayaan serta warna yang simbolik dengan Jepun, Ai (biru) warna yang sangat biasa dengan rakyat Jepun serta dikenali di seluruh dunia sebagai warna yang melambangkan Jepun, Fuji (ungu) warna bunga Wisteria Jepun yang dianggap sebagai bunga cantik di Jepun sejak zaman dahulu, Matsuba (Hijau) warna jarum pine yang sering digunakan untuk acara sambutan.

“Kami berbangga dengan reka bentuk tiket Tokyo 2020, menggambarkan tradisi dan kemahiran Jepun, dan kami berharap ia akan memikat penyokong dari Jepun dan luar negara untuk temasya Tokyo 2020. Tiket ini bukan sahaja akan untuk mereka gunakan untuk masuk ke lokasi pertandingan, tetapi juga sebagai cenderamata yang mereka akan ingat sehingga tamat temasya,” kata jurucakap Tokyo 2020, Masa Takaya.

Lakaran simbol acara Sukan Olimpik pertama kali diperkenal pada Temasya Tokyo 1964, yang timbul daripada keperluan untuk berhubung menggunakan visual kepada atlet dan penyokong antarabangsa yang semakin meningkat. Sejak itu, lakaran simbol telah digunakan untuk setiap edisi Temasya.

 

Kredit foto: Tokyo 2020

 

 

 

 

 

 

Comments