Tech3 dan Hafizh Syahrin Bermula Perlahan di GP Perancis

Naim Jaya Naim Jaya

Pasukan MotoGP yang diwakili pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah, Red Bull KTM Tech 3 mengakui mereka bermula dengan sedikit perlahan di litar Le Mans untuk saingan Grand Prix Perancis pada hujung minggu ini.

Dalam sesi latihan bebas yang berlangsung pada Jumaat, kedua-dua pelumba mereka termasuk rookie Miguel Oliveira gagal menghadirkan persembahan cemerlang walaupun beraksi di laman sendiri kali ini.

Pelumba tunggal negara dalam saingan kelas premier MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah dalam satu kenyataannya pada Jumaat turut mengakui mereka masih ketinggalan agak jauh berbanding pasukan-pasukan lain menjelang perlumbaan pusingan kelima saingan MotoGP di Perancis.

“Seperti biasa, dalam sesi FP1, kami ketinggalan agak jauh dengan jurang yang sangat besar dengan pelumba-pelumba lain.

“Di sesi FP2 pula kami bagaimanapun berjaya melakukan sesuatu setelah mencuba beberapa perubahan berbanding sesi waktu pagi dimana saya mampu untuk memberhentikan jentera dengan lebih baik dan memasuki selekoh dengan kelajuan yang baik.

“Saya bagaimanapun sepatutnya mampu untuk melakukan catatan masa yang lebih baik di pusingan terakhir sekiranya tidak melakukan kesilapan di sektor terakhir.” -ujar pelumba berusia 25 tahun itu.

Walaupun berjaya memperbaiki catatan masanya di sesi kedua latihan bebas, Hafizh hanya menduduki kedudukan terakhir catatan masa terkumpul bagi kedua-dua sesi tersebut.

Pelumba negara itu ketinggalan hampir 1.5 saat di belakang rakan sepasukannya, Miguel Oliveira yang mencatatkan masa terbaik dengan perbezaan 1.163 saat di belakang pendahulu saingan hari pertama, Maverick Vinales.

Selepas berakhirnya sesi latihan bebas pada hari pertama saingan, Hafizh kini perlu memperbaiki catatan masanya di sesi FP3 pada Sabtu sekiranya ingin berada di dalam kelompok 10 pelumba terbaik untuk menyertai sesi kelayakan Q3.

Kredit Foto: Red Bull KTM Tech3

Comments