MotoGP: Duo Yamaha Kuasai Hari Pertama GP Perancis

Naim Jaya Naim Jaya

Setelah bercuti selama hampir dua minggu, saingan MotoGP dunia kembali pada hujung minggu ini dengan perlumbaan pusingan ke lima di litar Le Mans, Perancis.

Pusingan kelayakan bebas (Free Practice) pada Jumaat menyaksikan dua pelumba Yamaha iaitu Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) dan Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT) berjaya menguasai catatan masa terbaik selepas kedua-keduanya berjaya mengisi tempat pertama dan ketiga dalam dua sesi yang berlangsung dalam keadaan cuaca kering.

Bekas juara dunia musim lalu dan pemenang dua perlumbaan musim ini, Marc Marquez pula berjaya menamatkan sesi latihan hari pertama di kedudukan kedua dengan perbezaan 0.190 saat sahaja di belakang pendahulu, Vinales.

Rakan sepasukan Marquez musim ini, Jorge Lorenzo juga cemerlang di kedudukan ke-empat selepas mengharungi permulaan musim baru yang agak sukar dalam empat perlumbaan sebelum ini.

Pemenang perlumbaan pertama di Qatar sebelum ini, Andrea Dovizioso dan rakan sepasukannya di Mission Winnow Ducati, Danilo Petrucci pula sekadar menamatkan saingan hari pertama di kedudukan ke lima dan keenam.

Paling mengejutkan dalam sesi latihan bebas kali ini sudah pastinya pelumba pasukan KTM Factory Racing, Pol Espargaro yang mencatatkan masa ke tujuh terpantas dan jauh meninggalkan rakan sepasukannya, Johan Zarco di kedudukan ke 17.

Dua lagi pelumba KTM Tech3, Miguel Oliveira dan wakil tunggal dari Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah pula gagal untuk menghadirkan saingan kepada pasukan lain kali ini walaupun beraksi sebagai tuan rumah di Le Mans.

Hafizh yang masih belum mengutip sebarang mata dalam perlumbaan musim ini sekadar mencatatkan masa terbaik 1′ minit 33.903 saat untuk berada di kedudukan paling akhir dengan perbezaan lebih dua saat dengan pendahulu, Maverick Vinales.

Untuk rekod, pada perlumbaan di trek yang sama pada musim lalu bersama jentera Yamaha YZR M1 miliknya, Hafizh menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 12 sekaligus mengutip empat mata berharga.

Comments