Hafizh Syahrin berlumba tanpa gaji

Pelumba MotoGP dari Malaysia, Hafizh Syahrin tidak akan menerima sebarang gaji dalam saingan Moto2 pada musim hadapan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang,Razlan Razali kepada Harian Metro pada semalam yang berkata Hafizh hanya bergantung kepada penajaan sahaja.

“Memang dia tidak mendapat gaji daripada pasukan (Angel Nieto) selain penajaan juga berkurang apabila turun daripada perlumbaan MotoGP ke Moto2.

“Ini kerana ‘nilainya’ juga turun mendadak dan dapat lebih setengah daripada apa diperoleh dalam MotoGP,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penajaan yang diterima Hafizh, dia mengakui litar antarabangsa Sepang (SIC) juga merupakan salah satu penaja dan turut membantu pelumba itu untuk berlumba pada musim hadapan.

“Sebenarnya SIC yang menaja beliau untuk tempat dalam pasukan Moto2. Mereka (Angel Nieto) minta bayaran yang mahal, namun selepas kami berunding, mereka setuju mengurangkan kos sehingga tahap yang kita mampu biaya,” jelasnya.

Razlan bagaimanpun memberitahu penajaan itu hanya untuk membolehkan Hafizh bersaing dan bukannya untuk membiayai perkara lain seperti perbelanjaan pengangkutan dan latihan.

Dia bagaimanapun meluahkan keyakinan yang pelumba itu akan dapat menampung perbelanjaan bulanan menerusi pengesahan penajaan daripada topi keledar dan sut perlumbaan yang diterimanya.

Hafizh yang merupakan pelumba pertama dari asia tenggara yang bersaing dalam kejuaraan MotoGP pada kelmarin disahkan akan menyertai saingan Moto2 pada musim hadapan.

Pelumba itu terpaksa turun pangkat daripada saingan kelas utama MotoGP selepas pasukannya Red Bull KTM Tech3 tidak menyambung kontraknya pada musim hadapan.

Dia akan bergandingan bersama pelumba meningkat naik di saingan Moto3, Aron Canet yang akan dinaikkan pangkat ke saingan Moto2 bersama pasukan itu musim hadapan.

Hafizh dalam satu pengumuman di Kuala Lumpur pada awal minggu mengumumkan dia akan bersaing dalam saingan kelas pertengahan Moto2 bersama pasukan Angel Nieto.

 

Comments