Hafizh Syahrin sertai Moto2 musim hadapan

Naim Jaya Naim Jaya

Teka teki tentang masa depan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya terjawab selepas beliau diumumkan bakal menyertai pasukan Angel Nieto pada musim hadapan.

Perpindahan tersebut akan menyaksikan beliau beraksi dalam saingan Moto2 dan bukan lagi di kelas premier MotoGP bersama pelumba handalan dunia.

Perpindahan tersebut menyaksikan Hafizh bakal bergandingan bersama pencabar kejuaraan Moto3 musim ini, Aron Canet dan akan menggunakan enjin Triumph 765cc yang kali pertama diperkenalkan musim ini.

“Moto2 bukanlah satu kategori yang baru buat saya memandangkan saya pernah beraksi di sana beberapa musim sebelum ini.

“Tetapi sekarang saya akan menggunakan casis yang berbeza, enjin yang berbeza dan juga enjin yang berbeza dengan lebih kuasa,” kata Hafizh dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Hafizh juga pernah beraksi dalam saingan Moto2 bersama pasukan Petronas Raceline dan berjaya menamatkan dua musim terakhirnya dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

Dalam musim terakhirnya bersama pasukan Petronas itu, Hafizh juga sempat menaiki podium sebanyak dua kali sebelum menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3 pada hujung tahun 2017.

Dia yang menyertai saingan kelas premier pada musim 2018 dan 2019 bersama pasukan Tech3 terpaksa mencari haluan baru selepas tidak ditawarkan kontrak untuk musim hadapan.

Malah, pasukannya itu juga terlebih dahulu mengumumkan pengganti beliau pada pertengahan musim lalu sebelum sempat dia mencari pasukan baru.

Tempat Hafizh di garaj Tech3 digantikan oleh pelumba muda yang kini beraksi dari Afrika Selatan, Brad Binder.

Comments