Hafizh alami kesukaran di hari pertama GP San Marino

Naim Jaya Naim Jaya

Pelumba Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui dia mengalami sedikit kesukaran dalam aksi pembukaan Grand Prix San Marino yang berlangsung hujung minggu ini.

Hafizh yang sehingga kini belum mengumumkan hala tujunya bagi musim hadapan dipetik hanya menggunakan sesi latihan bebas FP1 dan FP2 pada Jumaat untuk menambahkan tahap keyakinannya.

Dia bagaimanapun berjaya mengurangkan catatan masa yang dilakukan di sesi pagi sehingga 1.245 saat pada sesi kedua di waktu tengahari untuk menamatkan hari pertama di belakang rakan sepasukannya, Miguel Oliveira dengan perbezaan setengah saat sahaja.

“Ianya adalah hari Jumaat yang sangat sukar buat saya. Saya tidak mempunyai perasaan yang sama seperti sesi ujian sebelum ini (sesi ujian Misano) dan jelas sekali tidak memiliki kelajuan dan rentak yang sama. Ianya sangat mengelirukan, katanya.

“Kami tahu arah mana yang perlu dituju tetapi pada masa masih perlu mencari jalan manakah yang terbaik untuk meningkatkan prestasi jentera dan juga saya sendiri.

“Sektor ketiga adalah titik kelemahan terbesar kami setakat ini, jadi kita perlu melihat apa yang boleh dilakukan,”.

Rakan sepasukannya, Miguel Oliveira juga gagal mempamerkan aksi yang meyakinkan dalam hari pembukaan pada Jumaat sekembalinya dari kecederaan di bahagian bahu sebelah kanan yang dialami ketika perlumbaan GP British sebelum ini.

Pelumba muda yang berada dalam musim ‘rookie’ itu bagaimanapun tidaklah berada terlalu jauh daripada catatan masa yang dilakukan oleh¬† pelumba di kelompok hadapan apabila menamatkan kedua-dua sesi dengan hanya perbezaan 1.587 saat sahaja.

Dia bagaimanapun mengakui kegagalan untuk menyertai sesi ujian yang turut berlangsung di litar yang sama baru-baru ini merencatkan perancangannya dalam hujung minggu perlumbaan kali ini.

“Hari pertama di sini sedikit terkebelakang buat saya disebabkan kecederaan sebelum ini.

“Kami juga terlepas untuk menyertai sesi ujian¬† di sini sebelum ini bermakna kami juga terlepas beberapa rujukan penting.

“Buat masa sekarang, kekuatan di bahagian bahu dan tahap kestabilan saya masih menjadi isu, jadi saya akan cuba untuk berehat malam ini dan lihat samada ianya akan bertambah baik dengan sedikit senaman pada esok.

“Harapanya kami dapat untuk mencari sedikit lagi kelajuan agar dapat berada lebih dekat dengan kelompok hadapan,”.

Comments