MotoGP: Yamaha kuasai hari pertama GP San Marino

Naim Jaya Naim Jaya

Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales berjaya menjadi pelumba terpantasĀ  dalam sesi latihan bebas FP1 dan Fp2 Grand Prix San Marino yang berlangsung pada Jumaat.

Vinales mencatatkan masa sepusingan 1 minit 32.775 saat untuk berada di kedudukan teratas selepas kedua-dua sesi, untuk mengatasi Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT) di tangga kedua dan Marc Marquez (Repsol Honda) di kedudukan ketiga keseluruhan.

Rakan sepasukan Vinales di Yamaha, Valentino Rossi pula menamatkan sesi pada hari pertama di kedudukan ke empat keseluruhan dan diekori rapat oleh anak didiknya di Akademi SKY VR46, Franco Morbidelli (Petronas Yamaha SRT) di kedudukan kelima.

Manakala pelumba dari Malaysia, Hafizh Syahrin (KTM Tech3) pula sekadar menghuni kedudukan terakhir daripada keseluruhan 23 pelumba yang turun beraksi pada hari pertama di San Marino.

Rakan sepasukannya, Miguel Oliveira juga menerima nasib yang hampir sama apabila hanya menduduki kedudukan ke 20 keseluruhan.

Dua lagi pelumba yang menggunakan jentera KTM, Pol Esapargaro dan Johann Zarco dari pasukan Red Bull KTM Factory Racing bagaimanapun berjaya mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama apabila kedua-duanya berjaya menghuni kedudukan ke 6 dan 13.

Adam Norrodin

Dalam saingan Moto2 pula, Adam Norrodin yang membuat kemunculan pertama dalam saingan kelas itu bersama pasukan Petronas Sprinta Racing bagi menggantikan Khairul Idham Pawi yang masih dibelenggu kecederaan sekadar menamatkan saingan hari pertama di kedudukan ke 30 keseluruhan.

Ini juga adalah kemunculan pertama Adam dalam saingan Grand Prix dunia sejak meninggalkan pasukan Moto3 Petronas Sprinta pada penghujung musim lalu.

 

 

 

 

Comments