Morbidelli dan Hafizh Syahrin Bakal Berganding Bahu di Sepang

Naim Jaya Naim Jaya

Siapa sangka, dua pelumba MotoGP, Franco Morbidelli dan Hafizh Syahrin yang pernah menjadi seteru dalam perebutan gelaran ‘Rookie of The Year’ ketika musim pertama mereka dalam saingan kejuaraan MotoGP dunia tahun lalu bakal berganding bahu dan beraksi dalam sebuah pasukan yang sama. 

Tetapi, keputusan tersebut bukanlah untuk menyaksikan mereka beraksi bersama dalam kejuaraan MotoGP dunia untuk musim hadapan, namun sekadar untuk mewakili pasukan Petronas Racing Team bagi menyertai saingan FIM Endurance World Championship (EWC) yang bakal berlangsung buat kali pertama di Litar Antarabangsa Sepang  hujung tahun ini.

Morbidelli yang kini  merupakan salah seorang pelumba utama buat pasukan Petronas Yamaha SRT dalam kejuaraan MotoGP bakal menyertai Hafizh dan pemenang empat kali perlumbaan Suzuka 8 Hours, Michael van der Mark untuk perlumbaan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Petronas Racing Team, pasukan itu akan menggunakan jentera Yamaha YZF-R1 dan bakal dibantu oleh pasukan YART Yamaha EWC- yang pernah memenangi kejuaraan Endurance World Championship sebelum ini.

Prinsipal pasukan Petronas Racing Team, Razlan Razali jelas teruja dengan penyertaan pasukannya dalam kejohanan yang bakal berlangsung buat julung kali itu.

“Hujung minggu itu nanti bakal menjadi sesuatu yang mengujakan untuk disaksikan dimana perlumbaan EWC ini juga akan turut disertakan dengan perlumbaan WTCR (FIA World Touring Car Cup)- dimana sukan permotoran empat roda dan dua bakal berkongsi litar yang sama dalam hujung minggu yang sama.

“Kami juga yakin dan percaya Franco (Morbidelli), Hafizh, Michael dan YART mampu untuk menghasilkan keputusan yang baik dan kami juga menyasarkan untuk berada di podium,” katanya.

Morbidelli teruja untuk mencuba format perlumbaan ‘endurance’ Disember ini.

Pengalaman baru buat Morbidelli

Manakala, Morbidelli yang juga merupakan anak didik kepada legenda sukan permotoran dunia, Valentino Rossi di Akademi SKY VR46 juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dengan pengumuman tersebut dan teruja untuk mengetahui bagaimanakah perlumbaan format ‘endurance’ ini sesuai dengan dirinya.

‘Ianya sesuatu yang berbeza, sesuatu yang bagus dan saya berkata kenapa tidak?- bila ditanya oleh Razlan mengenai perkara itu.

“Saya pernah berlatih dengan YZF R-1 sebelum ini jadi saya mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan tentang jentera itu dan apa yang perlu dijangkakan bila beraksi, tetapi saya pasti jentera ‘endurance’ mempunyai lebih banyak perbezaan,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

* Perlumbaan FIA Endurance World Championship pada Disember tahun ini bakal dilangsungkan di bawah sinaran lampu limpah serba baru Litar Antarabangsa Sepang  dan merupakan sebahagian daripada acara Races of Malaysia yang menggabungkan sukan permotoran dua roda dan empat roda. Acara yang turut melibatkan perlumbaan FIA World Touring Car Cup itu juga adalah merupakan salah satu usaha sama dengan Tourism Malaysia bagi menjayakan program Visit Malaysia 2020.

 

Comments