Hafizh Bakal Bermula Dari Barisan Belakang Sekali Lagi

Naim Jaya Naim Jaya

Pelumba Red Bull KTM Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan Grand Prix British di Litar Silverstone pada Ahad dari barisan ketujuh.

Hafizh yang menyertai sesi kelayakan Q1 hanya mampu mencatatkan masa terbaik 2 minit 00.700 saat untuk berada di kedudukan ke 10 dalam sesi tersebut.

Keputusan itu menyaksikan beliau gagal meneruskan kemaraan ke pusingan Q2 sekaligus hanya mengesahkan tempat di petak permulaan untuk perlumbaan esok di kedudukan ke 20. 

Hafizh dalam satu kenyataan selepas sesi tersebut memberitahu beliau masih perlu melakukan penambahbaikan terhadap jentera KTM RC 16 miliknya. 

” Saya masih bergelut terutamanya di bahagian selekoh tetapi pasukan dan saya akan berusaha lebih keras untuk mencari tetapan yang lebih baik bagi menghadapi perlumbaan esok. 

“Perancangan kami untuk esok adalah untuk mencari rentak dalam pusingan ‘Warm Up’ pada sebelah pagi dan menggunakannya dalam perlumbaan.

“Sasaran kami dalam perlumbaan esok adalah untuk berada bersama kelompok hadapan” ujar beliau. 

Dalam perkembangan sama, rakan sepasukan Hafizh, Miguel Oliveira pula bakal memulakan perlumbaan dari barisan kelima setelah turut mengalami nasib sama gagal untuk melangkah ke pusingan Q2. 

Pusingan kelayakan untuk perlumbaan Grand Prix British yang bakal berlangsung pada Ahad berjaya didahului oleh pelumba Repsol Honda, Marc Marquez sambil diiringi oleh Valentino Rossi dan Jack Miller.

Comments