Johann Zarco Tinggalkan KTM Selepas Semusim

Red Bull KTM Factory Racing dan Johann Zarco pada hari ini mengumumkan mereka tidak akan lagi bersama dalam saingan MotoGP pada musim hadapan.

 

Pengumuman tersebut sudah pastinya mengejutkan ramai pihak memandangkan Zarco baru sahaja menyertai pengeluar dari Austria itu pada penghujung musim lalu dari pasukan Tech3.

Kenyataan tersebut menyebut kedua-dua pihak iatu KTM dan Zarco bahawa mereka bersetuju untuk tidak lagi bekerjasama pada musim hadapan.

Keputusan tersebut turut dibuat setelah kedua-dua pihak dilihat menemui jalan buntu dalam membangunkan jentera KTM RC16 dalam saingan musim ini walaupun berbagai usaha telah dilakukan untuk menjadi lebih kompetitif.

Pemergian Zarco juga bakal meninggalkan satu lagi kerusi kosong di dalam grid untuk saingan musim hadapan dan sehingga artikel ini ditulis, KTM dan Zarco masih belum memutuskan tentang perancangan mereka untuk musim 2020.

Kenyataan tersebut hanya memberitahu mereka akan terus bekerjasama untuk saingan musim ini yang masih berbaki lapan perlumbaan.

Untuk rekod, bekas rakan sepasukan Zarco di Monster Yamaha Tech3 pada musim lalu, Hafizh Syahrin juga digugurkan oleh satu lagi pasukan satelit KTM iatu Red Bull KTM Tech3 untuk saingan musim hadapan sekaligus menjadikan kedua-kedua pelumba yang beraksi dalam pasukan yang sama dalam saingan musim 2018 kini masih belum mempunyai pasukan untuk saingan musim hadapan.

Kredit Foto: KTM Factory Racing

Comments