MotoGP: Ducati Kekalkan Penguasaan di Red Bull Ring, Halang Hajat Besar Marquez Dan Repsol Honda

Perlumbaan pusingan ke 11 saingan MotoGP berlangsung dengan penuh sengit di Litar Red Bull Ring pada hujung minggu ini dan sekali lagi menyaksikan pasukan Ducati berjaya menguasai perlumbaan di litar yang terletak di Austria itu selepas berjaya mengenepikan saingan sengit dari Marc Marquez dan pasukan Repsol Honda. 

  1. Pertembungan Dua Penjuru Di Antara Dovizioso dan Marquez. 

Perlumbaan yang berlangsung pada Ahad jelas menjadi pertembungan diantara pelumba Ducati, Andrea Dovizioso dan juga Marc Marquez dari Repsol Honda. Walaupun turut disertai oleh beberapa pelumba lain seperti Fabio Quartararo dan Jack Miller serta Valentino Rossi pada awal perlumbaan, saingan untuk merebut tempat pertama jelas menjadi perebutan diantara dua pelumba ini terutamanya selepas memasuki 10 pusingan terakhir. 

  1. Quartararo Ketepikan Rossi dan Vinales

‘Rookie’ dari pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo sekali lagi berjaya menamatkan perlumbaan sebagai pelumba Yamaha terpantas selepas melepasi garisan penamat di kedudukan ke-3. Keputusan tersebut menyaksikan beliau berjaya mengenepikan dua lagi pelumba ‘factory’ Yamaha iaitu Maverick Vinales dan juga Valentino Rossi. Keputusan tersebut sudah pastinya bakal menghadirkan tekanan buat duo Yamaha tersebut memandangkan Quartararo hanya berada di pasukan satelit dan menggunakan jentera yang memiliki spesifikasi lebih rendah berbanding apa yang digunakan mereka di garaj ‘factory’ Yamaha. 

  1. Hafizh Syahrin Kecundang Sekali Lagi

Pelumba pasukan KTM Tech3, Hafizh Syahrin sekali lagi gagal menamatkan perlumbaan kali ini selepas turut ditimpa nasib yang sama dalam perlumbaan sebelum ini di Austria pada hujung minggu lalu. Hafizh juga terpaksa dibawa ke pusat perubatan susulan insiden yang berlaku ketika perlumbaan masih berbaki 25 pusingan pada Ahad. Kegagalan menamatkan perlumbaan ini adalah merupakan yang kali ke-4 buat pelumba dari Malaysia itu dalam saingan musim ini. 

  1. Miguel Oliveira Cemerlang di Bumi KTM

Seorang lagi pelumba KTM Tech3, Miguel Oliveira pula melalui hujung minggu yang sangat berbeza dengan Hafizh Syahrin. Pelumba muda Portugal itu berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8 keseluruhan untuk menjadi pelumba terbaik dari armada KTM dalam perlumbaan kali ini. Keputusan ini juga merupakan yang terbaik buat Oliveira sejak menyertai kelas premier pada musim ini. Lebih manis lagi, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8 juga adalah merupakan keputusan terbaik KTM sepanjang beraksi di Red Bull Ring sepanjang menyertai saingan MotoGP. 

  1. Repsol Honda Terus Kemarau Kemenangan di Red Bull Ring

Tindakan saat akhir Andrea Dovizioso yang memintas Marc Marquez ketika berada di penghujung perlumbaan menyaksikan pasukan Repsol Honda sekali lagi terlepas peluang untuk memenangi perlumbaan di Austria. Untuk rekod, sejak 2016, kesemua perlumbaan di Red Bull Ring dimenangi oleh Ducati dengan Andrea Iannone pada 2016, Andrea Dovizioso pada 2017 dan juga Jorge Lorenzo pada 2018. Keputusan ini juga bermakna Red Bull Ring kekal menjadi litar dimana Marc Marquez gagal untuk memenangi perlumbaan sejak menyertai saingan kelas premier. 

 

Comments