MotoGP: Lima Perkara Daripada Pusingan Kelayakan Austrian GP

1. Marc Marquez Bakal Bermula Dari Hadapan Sekali Lagi

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez bakal bermula dari petak paling hadapan dalam perlumbaan Austrian GP pada Ahad. Keputusan kelayakan ini sudah pastinya agak bermakna buat Marquez dalam mencapai misi beliau untuk memenangi perlumbaan buat pertama kalinya di Red Bull Ring. Untuk rekod, Marquez tidak pernah memenangi perlumbaan kelas premier di litar ini sejak beralih dari saingan Moto2.

2. Quartararo Terus Buktikan Kemampuan Luar Biasa

Fabio Quartararo, ‘rookie’ yang mewakili pasukan Petronas Yamaha SRT terus mempamerkan persembahan yang menakjubkan dalam saingan musim ini apabila bakal bermula dari barisan paling hadapan sekali lagi selepas beberapa kali melakukannya musim ini. Dalam pusingan kelayakan yang berlangsung pada Sabtu, beliau turut berjaya mengenepikan dua pelumba ‘factory’ Yamaha, Maverick Vinales dan Valentino Rossi yang masing-masing sekadar berada di kedudukan ke-4 dan ke-10. Rakan sepasukan beliau di garaj Petronas SRT, Franco Morbidelli pula sekadar melengkapkan kedudukan di kedudukan ke 14 selepas gagal menyertai pusingan kalayakan Q2

3. Miguel Oliveira Hampir Ke Pusingan Kelayakan Q2

Pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3 yang juga merupakan rookie musim ini, Miguel Oliveira hampir-hampir mengesahkan tempat ke pusingan kelayakan Q2 sebelum berjaya dipintas di saat-saat akhir oleh pelumba LCR Honda, Cal Crutchlow. Walaubagaimanapun, catatan masa yang dilakukan oleh Oliveira berjaya menjadi keputusan kelayakan yang paling cemerlang buat pelumba dari Portugal itu dalam saingan musim ini dimana beliau bakal bermula di petak ke 13 pada Ahad.

4. Hafizh Syahrin Konsisten Di Barisan Belakang

Pelumba yang berasal dari Malaysia, Hafizh Syahrin pula sekali lagi bakal bermula dari barisan paling belakang dalam perlumbaan kali ini. Hafizh yang beraksi dalam pusingan kelayakan Q1 gagal untuk sekurang-kurangnya berada di kelompok pertengahan petak perlumbaan pada esok selepas hanya menduduki tempat ke 20 dan hanya pelumba ujian Repsol Honda, Stefan Bradl sahaja yang bakal memulakan perlumbaan di belakang beliau.

5. Marc Marquez Pintas Rekod  Mick Doohan

Pusingan kelayakan ini juga menjadi sangat istimewa buat pelumba Repsol Honda dan juara dunia musim lalu, Marc Marquez apabila kejayaannya menduduki ‘pole position’ kali ini adalah merupakan yang ke 59 buat dirinya sepanjang beraksi dalam kelas premier. Nombor tersebut adalah sangat istimewa memandangkan beliau berjaya memintas rekod yang dipegang oleh legenda MotoGP, Mick Doohan iaitu sebanyak 58 kali. Untuk rekod, Doohan juga adalah salah seorang pelumba pasukan Repsol Honda suatu ketika dahulu.

 

 

Comments