MotoGP: Keputusan Latihan Bebas Grand Prix Austria

Saingan MotoGP kembali pada hujung minggu ini dengan perlumbaan pusingan ke 11 di Litar Red Bull Ring ,Austria. 

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dilihat tidak menghadapi masalah untuk mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan bebas yang berlangsung pada Jumaat di Austria sekaligus mengungguli sesi latihan bebas ‘Free Practice 1 dan 2’. 

Marquez berjaya mencatatkan masa sepusingan 1 minit 23. 916 saat untuk mengatasi pencabar terdekat beliau, Maverick Vinales di kedudukan kedua dan Andrea Dovizioso di kedudukan ketiga yang juga merupakan pemenang perlumbaan di litar yang sama pada musim lalu. 

Keputusan tersebut juga menyaksikan tiga pengeluar berbeza iaitu Honda, Yamaha dan Ducati berjaya menduduki kedudukan tiga terbaik pada hari pertama saingan di Red Bull Ring.

Pelumba Jepun, Takaaki Nakagami daripada pasukan LCR Honda juga berjaya menunjukkan persembahan yang menakjubkan apabila berjaya menjadi pelumba Honda kedua terpantas selepas Marquez apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan ke empat. 

Melengkapkan senarai lima pelumba terpantas pada Jumaat adalah pelumba pasukan dari Malaysia, Petronas Yamaha SRT yang juga merupakan ‘rookie’ dalam saingan musim ini iaitu Fabio Quartararo. 

Seorang lagi pelumba pasukan Petronas, Franco Morbidelli bagaimanapun gagal untuk sekurangnya berada di dalam kelompok 10 pelumba terbaik apabila sekadar berada di kedudukan ke 14 keseluruhan. 

Walaubagaimanapun, sedikit malang buat pelumba dari Malaysia iaitu Hafizh Syahrin Abdullah apabila beliau terjatuh ketika sesi latihan bebas 1 pada Jumaat dan hanya menghuni kedudukan terakhir dalam senarai catatan masa terkumpul selepas dua sesi. 

Rakan sepasukan Hafizh di Tech3, Miguel Oliveira bagaimanapun melalu hari yang sangat cemerlang apabila berjaya mencatatkan masa terkumpul daripada dua sesi pada Jumaat untuk berada di kedudukan ke 7 keseluruhan. 

 

Comments