Terengganu FC tetap harga tiket RM15 untuk semua tempat duduk bagi musim 2020

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Kelab Bola Sepak Terengganu (Terengganu FC) menetapkan harga tiket untuk perlawanan bola sepak di venue baharu, Stadium Sultan Mizan Zainan Abidin (SSMZA) pada saingan Liga Malaysia 2020 adalah berharga RM15 untuk semua tempat duduk.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim selepas daripada majlis pelancaran jersi baharu Teregganu FC di Dataran Batu Burok, semalam.

Harga itu ditetapkan berikutan SSMZA tidak memiliki bumbung sekaligus tidak membolehkan mereka mengadakan seksyen tempat duduk pentas utama atau grandstand di stadium tersebut.

“Harga tiket sama macam musim lepas RM15 untuk semua (tempat duduk) sebab kita tiada tempat duduk grandstand,” katanya di hadapan para wartawan.

Sementara itu, Hishamuddin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu turut memberi jaminan tiada sebarang masalah keselamatan melibatkan SSMZA.

“Stadium Sultan Mizan ini JKR telah jamin dari segi keselamatan, kita telah bermain dahulu tetapi kita tidak bermain selepas daripada itu atas faktor padang sahaja,” tambahnya lagi.

Dan pihak pengendali liga, Malaysian Football League (MFL) akan turun ke SSMZA pada minggu depan untuk membuat semakan terakhir terhadap padang sebelum bermulanya saingan Liga Super Malaysia 2020 pada hujung bulan ini.

Foto: Terengganu Football Club

Comments