Selangor mahu guna pemain ‘feeder club’ ganti Rufino Segovia, Nor Hakim

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Kecederaan yang menimpa penyerang, Rufino Segovia dan pemain sayap, Nor Hakim Hassan pada aksi pramusim memaksa mereka berehat panjang.

Ia merupakan satu tamparan hebat kepada skuad Red Giants dan memaksa mereka mencari pemain lain untuk menggantikan kedua-dua pemain tersebut.

Foto: FAS

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon berkata mereka bercadang untuk menggunakan pemain daripada ‘feeder club’ iaitu Selangor II sebagai satu pilihan bagi mengisi kekosongan itu.

Bagaimanapun, Dr. Johan tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan pemain-pemain luar sekiranya tiada calon yang tepat untuk menggalas cabaran di skuad utama itu.

“Kita ada beberapa pilihan. Satu kita perlu mencari pemain dari luar dan satu lagi ialah seperti yang sedia maklum kita baru sahaja menubuhkan Selangor II yang dibimbing Michael Feichtenbeiner. Beliau baru sahaja kembali daripada cuti Krismas dan sudahpun memulakan kerja.

“Sekarang ini kita sedang melihat sama ada bakat-bakat dari Selangor II yang boleh diketengahkan untuk saingan Liga Super ataupun kita perlu mencari pemain luar. Perkara ini akan mengambil sedikit masa,” katanya seperti dipetik daripada VocketFC.

Terdahulu, menerusi laporan media tempatan, ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan memberikan bayangan untuk membawa masuk pemain berstatus senior untuk menggantikan Nor Hakim Hassan yang terlepas saingan Liga Malaysia 2020.

Tiga pemain sedang dalam pemerhatiannya dan salah seorang yang dikenalpasti merupakan bekas pemain Kuala Lumpur, Terengganu FC dan Kedah iaitu Fitri Omar.

Foto: MFL

Comments